JOHOR BAHRU – Pengguna berharap keputusan kerajaan menetapkan harga siling ayam dan telur berkuat kuasa hari ini akan dipatuhi peniaga di seluruh negara.
Seorang pekerja swasta, Siti Maishara Supaid, 37, berkata, dia tiada pilihan selain daripada akur dengan peningkatan harga siling bahan mentah itu.
Namun katanya, dalam masa sama dia berharap kerajaan akan menguatkuasakan perkara tersebut dan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang masih mengambil kesempatan.
“Hendak kata gembira tipulah kerana semua barang sudah semakin naik harga ketika ini, namun saya berharap penetapan harga siling baharu khususnya bagi ayam dan telur akan dapat memastikan tiada peningkatan mendadak di pasaran.
“Maksudnya, saya berharap tiada lagi peniaga ambil kesempatan meningkatkan harga jualan ayam sehingga RM12 atau RM15 sekilogram seperti yang tular baru-baru ini,” katanya semalam.
Ujar ibu kepada tiga orang anak itu, dia berharap peningkatan harga siling ayam dan telur itu tidak kekal sebaliknya boleh diturunkan semula apabila harga barangan semasa terkawal.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Siti Nurdzilah Awaluddin, 36, memberitahu, dia berharap langkah kerajaan itu dapat memastikan bekalan barangan berkenaan sentiasa mencukupi dan mudah untuk diperoleh.
“Sebelum ini, kita dengar banyak alasan kenaikan harga ayam dan telur adalah disebabkan permintaan tinggi dan barangan berkenaan sukar diperoleh, sudahlah susah cari tetapi apabila ada mahal pula harganya.
“Jadi saya harap penetapan harga siling ini pada akhirnya akan memberi manfaat kepada pengguna kerana kami adalah yang paling terkesan,” katanya.
Di Kuala Langat, walaupun akur dengan penetapan harga siling ayam itu, namun peningkatan sebanyak 50 sen tetap membebankan dan memberikan kesan pada perbelanjaan harian.
Rata-rata pengguna turut meminta penguatkuasaan lebih ketat susulan ‘permainan’ harga tetap berlaku walaupun harga siling ditetapkan seperti sebelum ini.
Seorang suri rumah, Titik Bujang, 56, berkata, kenaikan harga ayam menyebabkan kos membeli barang makanan meningkat.
“Dulu RM8.90 sekilogram dan kini RM9.40. Kalau tiga kilogram sudah ada tambahan RM1.50.
“Dulu peniaga pun tertekan dan sukar patuh sebab pembekal berikan harga tinggi kepada peniaga. Selagi, kos ternak dan bahan makanan ruminan tidak dikawal selagi itu masalah tidak selesai,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Zuraimi Razali, 30, berharap harga siling ayam tidak akan dinaikkan lagi kerana akan menambah perbelanjaan harian.
“Sebelum ini ada ura-ura harga ayam akan naik RM11 hingga RM15 sekilogram dan pengumuman semalam sedikit melegakan.
“Harap tiada kenaikan lagi sebab ramai masih mempunyai gaji pada tahap sama,” katanya.
Di George Town, seorang pengguna, Norhayati Mahmud, 46, berkata, dia sekeluarga kini terpaksa berfikir panjang untuk membeli hanya seekor ayam standard di pasar memandangkan harganya masih mencecah lebih RM20 seekor.
Katanya, dia juga terpaksa membuat pilihan harga ketika urusan pembelian barangan dapur terutama bahan mentah harian di pasar awam atau kedai runcit berikutan berlaku kenaikan harga yang mendadak.
“Kami empat beranak kini terpaksa melupakan hidangan ayam. Sebelum ini, seekor ayam hanya mampu bertahan selama dua hari tetapi hari ini belum tentu kami dapat membelinya pada harga bawah RM15 seekor untuk menu setiap dua kali seminggu.
“Sebahagian ayam kini dijual RM8, itupun saiz kecil. Ayam untuk kami sekeluarga kini hanya dinikmati sekali sebulan ketika gaji,” katanya.
Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, CAP minta Kementerian Pertanian memberi jaminan kepada pengguna yang penjual ayam tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan termasuk upah potong ayam. -KOSMO! ONLINE















