fbpx

Laut China Selatan bukan sekadar medan pertahanan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan kapal pengangkut peswat China, Liaoning mengadakan latihan di tengah Laut China Selatan (LCS).

Peluasan penguasaan China di Laut China Selatan (LCS) telah menimbulkan kebimbangan global. Setiap tahun, AS$3.4 trilion (RM14.9 trilion) barangan perdagangan dihantar melalui laut itu dan lebih 80 peratus minyak mentah ke Jepun, Taiwan dan Korea Selatan dibawa melalui kawasan ini.

LCS turut menjadi penyumbang sekurang-kurangnya satu per tiga perdagangan maritim di peringkat global. Di samping rizab minyak dan gas asli besar dikatakan terletak di bawah dasar lautnya, ia juga merupakan tempat menangkap ikan yang penting untuk keselamatan makanan. Atas faktor-faktor itu, tidak hairanlah jika kawasan ini sentiasa menjadi pertikaian sejak zaman penjajahan kolonial Barat hinggalah sekarang.

Konflik terkini di LCS merupakan sesuatu yang rumit dan kompleks. Pertikaian terhadap hak pemilikan, persempadanan semula, hak laluan dan akses kepada sumber seperti hasil hidupan laut, minyak dan gas bukan hanya melibatkan China, tetapi juga Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam. Kesemua negara ini terkesan dengan tuntutan sempadan oleh negara China terhadap LCS yang didakwa milik mereka berdasarkan rekod maritim dari zaman silam, yang mana China merupakan negara terawal yang meneroka LCS.

China telah menuntut kira-kira 90 peratus daripada 3.5 juta kilometer persegi LCS yang amat berharga untuk perikanan dan rizab bahan api fosil bawah laut. Dalam masa dua tahun sahaja, aktiviti penambakan telah menghasilkan lebih daripada 3,200 ekar (1,295 hektar) kawasan permukaan secara keseluruhan yang boleh digunakan pada tujuh kawasan diduduki China di kepulauan Spratly. Pelabuhan, landasan, bangunan dan berek telah dibina untuk menampung kapal, kapal terbang dan kakitangan tentera atau awam. Kepantasan China membangunkan kemudahan itu tidak dapat ditandingi mana-mana negara sekitar yang terlibat pertikaian itu.

Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga telah membina struktur di kepulauan yang mereka kuasai, termasuk membina landasan kapal terbang. Malaysia telah menjadikan Pulau Layang-Layang atau lebih dikenali dengan Stesen Lima di Kepulauan Spratly sebagai pusat peranginan pelancong. Kepantasan China dalam membangunkan kepulauan yang mereka kuasai di LCS itu adalah disebabkan kuasa ekonomi, teknologi dan ketenteraan mereka yang amat kukuh.

China berusaha untuk menguasai perairan LCS adalah kerana mahukan ‘kawalan’ terhadap kawasan tersebut. Ia digambarkan dengan jelas oleh kelakuan China. Tanggapan bahawa kerajaan China tidak tahu apa yang mereka mahukan di LCS atau menjadikan penguasaan tersebut hanya sebagai langkah mengukuhkan pertahanan hadapan dilihat tidak lagi kredibel. Tingkah lakunya yang sebenar memperlihatkan apa yang mereka mahu iaitu mengawal LCS.

Pembinaan struktur dan sistem pertahanan di kepulauan yang dikuasai jelas menunjukkan usaha meningkatkan unjuran kuasa mereka. Landasan kapal terbang dan jeti untuk kapal berlabuh juga menggambarkan usaha mereka mewujudkan pangkalan operasi hadapan yang membolehkan aset-aset mereka beroperasi mengawal kawasan LCS lebih lama dan lebih jauh.

Sejarawan China yang memberikan reaksi terhadap apa yang China anggap ‘abad kehinaan’ mengetahui kuasa Barat masuk ke China dengan menggunakan kapal merentasi LCS. Adalah rasional untuk kita anggap bahawa

China hari ini mahu melindungi wilayahnya daripada serangan maritim berlandaskan pendapat bahawa China tidak akan pernah mengabaikan sejarah yang berlaku kepada mereka pada abad ke-19 dan ke-21. Berdasarkan perkembangan semasa, segala aktiviti China tidak boleh lagi dilihat sebagai usaha yang hanya untuk meningkatkan pertahanan, malah sedang cuba meluaskan penguasaan dan kawalan di sekitar LCS.

Adalah mustahil buat masa ini untuk Amerika Syarikat (AS) menyerang China melalui laut, darat atau udara. Disebabkan itulah China dengan jayanya mengukuhkan dirinya selama ini tanpa mencetuskan tindak balas AS yang serius. China mengetahui bahawa AS masih terlibat dengan konflik di beberapa kawasan di dunia. Dalam aspek ini, AS sedar bahawa ia perlu bekerjasama dengan China.

Jika pertumpahan darah China-AS sangat tidak mungkin, mengapa China mahu menguasai LCS untuk mempertahankan diri terhadap AS? Ini jelas menunjukkan bahawa China mahukan lebih daripada sekadar mempertahankan diri di kawasan itu.

Barangkali juga China cuba menghalang ancaman sekatan yang mungkin dikenakan ke atas mereka, tetapi hubungan antara China-AS adalah terlalu besar dan penting, maka agak mustahil bagi AS untuk mengenakan sekatan terhadap negara paling ramai penduduk dan ekonomi kedua terbesar dunia itu. Walaupun itu kemungkinan, tetapi tidak mungkin menjadi keutamaan AS buat masa ini. Sebagai contoh, pentadbiran Presiden Obama semasa sidang media sempena lawatan Presiden Xi Jinping ke Rumah Putih pada 2015 mahu China terlibat secara konstruktif dengan pihak lain dalam ekonomi politik global sedia ada. Ini menunjukkan sumbangan China adalah amat penting, bukan hanya bagi AS, malah seluruh dunia.

Di samping perang dan sekatan, terdapat juga risiko yang mungkin menjadi kebimbangan pihak China iaitu penentangan dari dalam negara mereka sendiri. Pemerintah China telah bertahun-tahun menuntut hampir seluruh LCS. Mereka kini mungkin merasa tertekan untuk menunaikan janji itu kepada rakyat mereka lantas memberikan kesempatan kepada pihak nasionalis dalam masyarakat China menyalahkan mereka. Risiko untuk keadaan hipernasionalisme yang tidak terbendung boleh membinasakan pemerintahan mereka.

Berdasarkan tinjauan oleh Andrew Chubb terhadap pendapat umum masyarakat China mendapati majoriti 61 peratus responden menyokong untuk menyerahkan pertikaian LCS kepada timbang tara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan 57 peratus menyokong untuk berunding berkaitan pertikaian untuk mencapai kompromi.

Berdasarkan penilaian tiga risiko tersebut, jelas China dalam usaha strategik mereka untuk mengawal LCS. Proses dilakukan secara sistematik dengan objektif yang jelas dimulakan dengan tuntutan wilayah, diikuti dengan penguasaan beberapa kepulauan, pembinaan instalasi pentadbiran, logistik, dan pertahanan seterusnya menghantar kapal-kapal perang dan pengawal pantai untuk mengawal kawasan yang mereka tuntut.

Disebabkan status China sebagai salah satu kuasa besar dunia, mereka dilihat terlalu superior untuk digugat negara-negara persisir yang terlibat dalam tuntutan wilayah di LCS. Hingga kini ketegangan di LCS dilihat tiada penghujung yang konfirmatif dan bergantung kepada tindakan diplomatik sebagai jalan terbaik. Inisiatif imbangan kuasa oleh kuasa-kuasa besar yang lain di kawasan ini seperti pakatan antara negara dan latihan bersama juga dilihat tidak memberikan kesan drastik kepada China yang masih meneruskan misi mereka di LCS.

 

Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia Ts. Farizha Ibrahim ialah Felo Penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Maritim Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI