fbpx

Ceritera suara berbunyi prosa dalam buku puisi Kejora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
U-WEI (kiri) dan Amy (kanan) menunjukkan buku Kejora nukilan Ashikin M (tengah) semasa pelancaran buku tersebut di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Naskhah buku puisi yang mengandungi pelbagai puisi puitis sememangnya mampu membawa pembaca hanyut dengan bahasa-bahasa indah. Buku sebegini turut mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.

Baru-baru ini, sebuah buku puisi berjudul Kejora telah dilancarkan dalam suasana yang sarat dengan momen indah dan puitis di Petaling Jaya, Selangor. Pelancaran buku nukilan penulis prolifik muda dengan nama pena, Ashikin M itu disempurnakan oleh pengarah filem negara yang sudah tidak asing lagi, U-Wei dan para tetamu dihiburkan dengan persembahan Amy Search yang mendendangkan lagu Isabella, Rozana dan tentunya Kejora dari album pertama kumpulan Search, Cinta Buatan Malaysia (1985).

Diterbitkan sendiri oleh Ashikin M, Kejora merupakan buku puisi pertama daripadanya. Walaupun ia adalah buku puisi, namun kesemua puisi di dalam buku tersebut adalah berhubung kait dalam membentuk sebuah ceritera.

Ashikin M telah memilih tema bintang kejora sebagai premis utama buku tersebut.

“Buku Kejora adalah terbitan sulung buku puisi saya. Ia menampilkan 30 puisi dengan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayaran dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa. Saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menghasilkan buku ini daripada proses pengilhaman, penulisan, penerbitan sehinggalah ke peringkat penghasilan beberapa lagu puisi bertemankan komposisi Ayop Azril, seorang komposer berbakat yang amat memahami perjalanan cerita yang diketengahkan dalam buku ini,” kata Ashikin M dalam satu kenyataan.

Ashikin M bukan sahaja dikenali sebagai penulis, tetapi juga seorang pengembara dan pakar strategi di sektor korporat. Berasal dari Ipoh, Perak, Ashikin M juga pernah berkolaborasi bersama dua penulis Indonesia untuk menghasilkan buku The Colour of Regret pada tahun 2021 tatkala dunia dilanda pandemik.

Antara buku-buku yang pernah diterbitkan oleh Ashikin M adalah Pabila Pesawat Bertemu Bulan, Mimpi-Mimpi Nomad, Mencari Warna Malaikat dan Si Romantik Yang Sudah Mati.

“Saya telah lama ingin menghasilkan buku himpunan puisi, namun puisi adalah seperti cinta dalam waktu yang tak mengerti. Saya perlu melalui perjalanan jauh untuk memahami kekuatan suara dalam penulisan, di mana saya bermula dengan menulis cerita pendek.

“Kemudian, beralih ke novel dan seterusnya mencuba bentuk puisi yang pelbagai. Saya masih mengekalkan suara berbunyi prosa di dalam perjalanan puisi-puisi kali ini kerana pada akhirnya, niat utama saya adalah hanya untuk bercerita.

“Bercerita adalah sesuatu yang takkan dapat saya hentikan sehingga saat ini,” katanya.

Sementara itu, U-Wei yang turut mendeklamasikan sebuah puisi daripada buku tersebut pada hari pelancaran, menyifatkan naskhah terbaharu daripada Ashikin M tersebut sebagai ‘berani dan amat tepat pada masanya’.

“Saya amat berbangga dengan inisiatif Ashikin M dalam penghasilan buku ini, lebih-lebih lagi ini merupakan buku puisi yang pertama daripadanya dan ia seratus peratus di dalam Bahasa Melayu.

“Saya mengucapkan jutaan tahniah buat Ashikin M dan saya yakin perjalanan dan masa depannya di dalam bidang penulisan amat cerah. Komuniti penulis negara ini begitu berbangga dengan pencapaiannya,” katanya tentang naskhah buku tersebut yang boleh didapati pada harga RM25 senaskhah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI