fbpx

Anak hampir diculik, Lufya cedera dipukul penyerang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kecederaan dialami Lufya akibat bergelut dengan lelaki yang cuba menculik anaknya.

PETALING JAYA- Pelakon dan penyanyi Lufya Omar mengalami kecederaan di wajah, kepala dan badan selepas dipukul dengan batang kayu oleh seorang lelaki dipercayai mahu menculik anaknya.

Berkongsi detik cemas tersebut menerusi Instagramnya, Lufya mendedahkan, kejadian tersebut berlaku dua hari lalu ketika dia membawa anaknya, Laana Haura, 5, ke sebuah taman permainan di Kota Damansara, Selangor.

“Dua hari lalu, Fya (Lufya) diserang oleh seorang lelaki yang nak cuba menculik anak perempuan saya. Masa itu kami berada di taman permainan di Kota Damansara lebih kurang pukul 4 petang sehingga 5 petang.

“Seorang lelaki Melayu yang bersifat dayus telah memukul Fya menggunakan batang kayu ke kepala, badan serta menyebabkan kecederaan wajah,” kongsi Lufya.

Biarpun begitu, Lufya memanjatkan kesyukuran apabila dia dan anaknya selamat dalam kejadian tersebut selepas bergelut dengan penyerang itu.

Tambah Lufya, kejadian tidak diingini tersebut menyedarkannya bahawa memiliki kemahiran seni mempertahankan diri dalam kalangan wanita adalah penting.

“Alhamdulillah, anak selamat dan Fya pun selamat. Im a fighter! Apa yang Fya hendak sampaikan di sini, demi keselamatan anak serta diri, walaupun kita ini wanita yang lemah, perlu ada ilmu mempertahankan diri.

“Ikutkan orang yang menyerang itu lelaki yang agak besar dan kuat. Dengan izin Allah juga Fya dapat melawan dan menyelamatkan anak Fya,” tulis Lufya.

Dalam pada itu, Lufya ingin memberi amaran kepada ibubapa di luar sana supaya sentiasa berhati-hati dan memantau keadaan sekeliling apabila keluar bersama anak masing-masing.

“Perkara yang paling penting, kita harus sentiasa berwaspada. Kita tidak tahu orang zaman sekarang ini sanggup buat perkara-perkara keji.

“Manusia semakin tiada kemanusiaan. Doakan kesembuhan dan keselamatan kami,” kata Lufya.

Terdahulu, Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor, Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016.

Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Laana Haura, bagaimanapun perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam, Selangor -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI