fbpx

Khir Toyo, Zaharah diarah lantik hakam Islah kes cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Khir dan peguamnya, Elly Jasmin (kanan) semasa ditemui pemberita selepas prosiding kes permohonan penceraian daripada Zaharah.

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Zaharah Kechik diperintah oleh Mahkamah Rendah Syariah hari ini bagi melantik hakam Islah bagi kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Mohd. Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas  Jawatankuasa Pendamai (JKP) didapati gagal mengislahkan perkahwinan kedua-dua pihak terlibat.

“Plaintif (Zaharah) masih tekad untuk berpisah manakala defendan (Mohamad Khir) mahu membincangkan hal (perceraian itu).

“Berikutan itu, kedua-dua pihak perlu melantik hakam Islah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Khir dan Zaharah masing-masing berusia 57 tahun tiba di mahkamah itu dengan peguam, kira-kira pukul 9 pagi.

Sementara itu, peguam mewakili Zaharah, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata anak guamnya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Februari lalu.

“Selepas mendengar laporan JKP, mahkamah hari ini mendapati berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga kedua-dua pihak.

“Oleh demikian, anak guam saya dan defendan perlu melantik hakam Islah iaitu wakil lelaki untuk berbincang sebelum menyerahkan laporan kepada mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khir menegaskan beliau sehingga kini tidak mempunyai sebab untuk menceraikan Zaharah.

“Saya sudah memenuhi tanggungjawab sebagai suami sejak lebih 30 tahun lalu. Beliau minta cerai dan tak ada sebab bercerai. Saya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk ditentukan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI