fbpx

Invois, baucar palsu bayar syarikat tidak diketahui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, invois dan baucar bayaran palsu disediakan untuk pembayaran kepada empat buah syarikat tidak diketahui, walhal wang yang dikeluarkan diguna untuk merasuah Lim Guan Eng.

Azli Adam, 58, mengaku menyediakan invois dan baucar bayaran palsu atas arahan ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli meskipun mengetahui perbuatan itu satu kesalahan.

Ujarnya, beliau hanya mengetahui wang tersebut dikeluarkan untuk merasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selepas dimaklumkan sendiri oleh Zarul Ahmad setelah disiasat oleh SPRM pada pertengahan Januari 2018.

“Zarul Ahmad mengaku kepada saya bahawa pemalsuan inbois dan baucar bayaran adalah sebahagian daripada modus operandi pemberian rasuah kepada Guan Eng di antara 2012 dan 2017,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi.

Pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Mokhzani Mokhtar, Azli mengesahkan beliau tidak mengetahui tujuan wang tersebut dikeluarkan namun mengetahuinya selepas Zarul Ahmad ditahan SPRM.

Ketika soal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi pendakwaan ke-28 itu tidak bersetuju bahawa beliau merupakan individu yang tidak boleh dipercayai.

Saksi juga tidak bersetuju bahawa beliau individu yang boleh mereka-reka keterangan berdasarkan tindakannya menyediakan akaun palsu atas arahan Zarul Ahmad.

Azli selanjutnya menyatakan, dua syarikat iaitu Sinar Bina Consultancy Services (SBCS) dan Bintang Ria Engineering (BRE) merupakan syarikat yang tidak aktif dan tiada kaitan dengan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Beliau yang merupakan bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZBUCG berkata, dua lagi terlibat ialah JKM Konsortium Sdn. Bhd. (JKMKSB) dan Jurutera Konsult Maju Sdn. Bhd. (JKMSB).

Saksi mengesahkan pengeluaran wang dilakukan menggunakan invois palsu daripada empat buah syarikat sedangkan bayaran langsung tidak diberikan kepada syarikat-syarikat tersebut.

Ujar beliau, invois hanya digunakan untuk tujuan rekod kewangan bagi pengeluaran wang untuk mengelakkan masalah dengan juruaudit.

Azli selanjutnya menyatakan, penyediaan invois dan baucar bayaran palsu bertujuan memanipulasi akaun syarikat dan menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada Zarul Ahmad.

Beliau turut mengesahkan pembayaran melalui invois dan baucar adalah palsu manakala butiran diskripsi bagi `Projek Terowong dan Jalanraya Pulau Pinang’ adalah tidak sah dan tidak dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan Zarul Ahmad bagi sesi soal balas. Bagaimanapun saksi pendakwaan ke-23 itu tidak hadir kerana bercuti sakit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI