fbpx

Wanita maut, kereta dipandu dirempuh 4×4 hilang kawalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang berlaku di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus, Seremban malam tadi.- FOTO: IHSAN BOMBA

SEREMBAN – Seorang wanita maut selepas terlibat dalam nahas dua buah kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus di sini malam tadi.

Mangsa, Nurfurqan Norazmi, 22, beralamat di Felda Serting Hilir 4, Bandar Seri Jempol meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.05 malam melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dipandu mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu seorang waniuta berumur 22 tahun sedang bergerak terus dari arah Seremban menuju ke arah Kuala Pilah seorang diri.

“Ketika di lokasi kejadian datang sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berumur 34 tahun seorang diri dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan jenis Perodua Viva terlibat.

“Akibat kemalangan, kedua-dua mangsa telah tersepit dan dikeluarkan oleh pihak bomba yang hadir di lokasi kejadian. Namun begitu mangsa pemandu Perodua Viva yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu sebuah lagi kenderaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nanda, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi pengendalian bedah siasat.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda pula dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI