fbpx

Kluster ILI terkawal, ibu bapa tak perlu risau – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy

REMBAU – Golongan ibu bapa dinasihatkan untuk tidak perlu risau mahupun bimbang berikutan terdapat pengesanan beberapa kluster Influenza-Like-Illness (ILI) di sekolah berasrama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kesemua kes berada dalam keadaan terkawal dan hanya memerlukan pemantauan serta pengasingan sahaja.

Malah menurutnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuat penilaian risiko sekiranya wujud keperluan untuk proses penutupan mana-mana sekolah atau institusi pendidikan.

“Kita serah kepada PKD untuk buat penilaian risiko. Untuk apa sahaja penyakit berjangkit jika sudah sampai ke satu tahap yang dirisaukan langkah-langkah berkenaan akan diambil. Ibu bapa tak perlu risau. Hanya kes yang memerlukan pemantauan dan pengasingan sahaja.

“Kes bertambah dari masa ke masa terutamanya bila dah tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bila kita dah kurangkan langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakkan fizikal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Saringan Kesihatan Peka B40, di Dewan UITM, Rembau, hari ini.

Terdahulu, satu kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Gombak.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata kluster itu mula dikesan di sekolah terbabit pada 19 Jun lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak menerima notifikasi kes pertama daripada fasiliti kesihatan swasta mengenai kejadian seorang pelajar didapati positif Influenza A.

Kemudiannya, di negeri yang sama, satu kluster ILI baharu membabitkan sekolah menengah berasrama di daerah Petaling turut dikesan. Kluster itu mula dikesan pada 21 Jun lalu selepas 110 pelajar mengalami gejala demam, batuk, selesema, dan sakit tekak.

Ini diikuti kes terbaharu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan satu kes kluster ILI di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh membabitkan tiga kes setakat Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI