fbpx
Golongan berusia yang gagal berdiri satu kaki selama 10 saat berisiko meninggal dunia dalam tempoh 10 tahun. - Getty

Individu gagal berdiri satu kaki berisiko mati dalam 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Satu kajian baharu mendedahkan bahawa golongan pertengahan umur yang tidak boleh berdiri dengan sebelah kaki selama 10 saat berisiko lebih tinggi untuk meninggal dunia dalam tempoh 10 tahun, lapor laman India Today.

Kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine itu mengaitkan ketidakupayaan untuk mengimbangi sebelah kaki selama 10 saat kepada hampir dua kali ganda risiko kematian disebabkan pelbagai faktor dalam tempoh 10 tahun berbanding mereka yang boleh berdiri tanpa sokongan.

Ketua kajian, Dr. Claudio Gil Araujo dari Rio de Janeiro, mencadangkan bahawa ujian keseimbangan harus menjadi sebahagian daripada pemeriksaan rutin untuk individu yang lebih tua.

Penyelidikan telah dijalankan dalam kalangan 1,702 orang berumur antara 51 hingga 75 tahun yang mengikuti kajian sejak 2008 hingga 2020.

Pada permulaan, para peserta diminta untuk mengangkat satu kaki dan meletakkannya di bahagian belakang sebelah lagi kaki sambil mengekalkan tangan di sisi dan melihat ke arah hadapan.

Para peserta diberi peluang melakukan tiga kali percubaan. Satu daripada lima peserta gagal dalam ujian tersebut.

Dalam tempoh 10 tahun selepas itu, seramai 123 peserta meninggal dunia atas pelbagai sebab. 

Selepas mempertimbangkan pemboleh ubah seperti umur, jantina dan keadaan asas, ketidakupayaan untuk berdiri tanpa sokongan pada sebelah kaki selama 10 saat dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian sebanyak 84 peratus dalam satu dekad.

Kajian itu bagaimanapun adalah bersifat pemerhatian dan tidak dapat menentukan punca sebenar. – Agensi

POPULAR