fbpx

Subsidi terbesar dalam sejarah demi ringankan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

PUTRAJAYA – Jumlah unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan untuk sepanjang tahun ini adalah paling tinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, subsidi RM77.3 bilion itu meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan tarif elektrik.

“Subsidi kepenggunaan ini bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat malahan ia belum lagi termasuk bantuan kebajikan masyarakat lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut melampirkan data keperluan unjuran subsidi bagi tahun ini yang berjumlah RM51 bilion dengan paling besar melibatkan sebanyak RM37.3 bilion untuk petrol, diesel dan LPG.

Ini diikuti subsidi kepenggunaan untuk tarif elektrik, ayam dan telur unggas itu yang sebanyak RM9.7 bilion serta skim penstabilan minyak masak paket satu kilogram berjumlah RM4 bilion.

Unjuran dinyatakan untuk sepanjang tahun ini ujar beliau lagi, dengan mengambil kira harga subsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.

Sekadar perbandingan, subsidi tahun lalu hanya RM16.5 bilion dengan terbesar ialah petrol, diesel dan LPG (RM13.2 bilion), minyak masak (RM2.2 bilion) serta lain-lain (RM1.1 bilion).

Sementara pada 2020 pula, jumlah subsidi cuma RM2.7 bilion dengan petrol, diesel dan LPG yang paling besar (RM1.6 bilion), minyak masak (RM0.5 bilion) serta lain-lain (RM0.6 bilion).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sekiranya ditambah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM11.7 bilion dan pelbagai subsidi lain, jumlah keseluruhan ialah RM77.3 bilion.

“Ini juga mengambil kira pengumuman kerajaan baru-baru ini yang meliputi bantuan tunai tambahan RM630 juta sekaligus meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 kepada RM1.74 bilion,” jelasnya lagi.

Tidak ketinggalan ujar beliau, ialah subsidi elektrik bagi Semenanjung Malaysia bernilai RM5.8 bilion untuk separuh kedua 2022 bagi memastikan tiada kenaikan tarif mulai 1 Julai depan.

Kerajaan tegas beliau, peka kepada isu kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi ekoran gangguan rantaian bekalan global serta konflik Ukraine-Rusia yang menjejaskan seluruh dunia.

Situasi tidak dijangka itu kata Tengku Zafrul, berlaku sejak akhir Februari lalu sebenarnya telah mengakibatkan impak besar kenaikan harga barangan asas kepada kebanyakan negara.

Sehubungan itu, pertambahan subsidi oleh kerajaan bertujuan menampung kos sara hidup rakyat kerana ia bersifat menyeluruh yang turut memberi manfaat bagi golongan M40 dan T20.

Kementerian Kewangan bagaimanapun akan terus memantau faktor luaran yang boleh memberi kesan negatif kepada situasi ekonomi domestik demi memastikan kos sara hidup rakyat masih terkawal.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI