fbpx
Tertuduh diiringi penguat kuasa SPRM ketika tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh Melaka, hari ini

Anggota trafik didakwa terima suapan enam tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang anggota trafik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan bernilai RM16,800 bagi melindungi sebuah syarikat pengangkutan sejak enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hanif Mohamad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sehaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut keenam-enam pertuduhan, tertuduh yang berpangkat Koperal didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM16,800.

Sogokan itu adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik sebuah syarikat pengangkutan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu dilakukan menerusi pindahan atas talian melalui akaun Maybank milik syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise antara Januari 2016 hingga Februari tahun lalu.

Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Tertuduh yang diwakili Peguam, Ishak Mohd. Kari bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menanggung isteri, empat anak dan ibu yang sudah uzur.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Beliau turut menetapkan tarikh 22 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE.

POPULAR