fbpx

Bengkel dinaiki air, 20 motosikal pelanggan tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FADHLAN mengalihkan motosikal pelanggannya yang ditengelami banjir di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang pemilik bengkel motosikal terpaksa menanggung rugi kira-kira RM5,000 selepas premis perniagaannya tenggelam dalam bencana banjir kilat di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, di sini pagi tadi.

Menurut Mohd. Fadhlan Jaafar, 36, kejadian itu hanya disedarinya kira-kira pukul 8 pagi apabila 20 buah motosikal milik pelanggannya ditenggelami air sedalam 0.8 meter.

“Habis semua 20 buah motosikal pelanggan dalam kedai tenggelam. Lima daripada motosikal itu juga sudah selesai dibaiki.

“Sepatutnya diambil oleh pelanggan, tapi tak sangka pula berlaku bencana ini,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Paya Rumput, di sini hari ini.

Tambahnya, dia cuba untuk menyelamatkan motosikal-motosikal tersebut, namun paras air yang telah mencecah lutut menyebabkannya takut untuk mengambil risiko terutama ancaman haiwan berbisa.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadhlan berkata, dia juga terus memaklumkan kepada pelanggan mengenai bencana yang menimpa bengkel berkenaan dan rata-rata pemilik motosikal memahami situasi tersebut.

“Mujur pelanggan faham dan tidak mengamuk, namun saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat banjir kilat ini.

“Ini kali keempat saya kena tahun ini dan kejadian yang paling teruk, semalam Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dah korek (dalamkan) longkang, kalau tak lagi teruk rasanya,” katanya.

Tambahnya lagi, kawasan itu kerap dilanda banjir kilat dan penduduk terpaksa menghadapi bencana itu sebanyak tujuh kali dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Tuminah Kadi ketika ditemui berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina dua sistem saliran baharu bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan itu.

“Kita telah memohon untuk bina sistem saliran baharu  di sempadan Paya Luboh ke Klebang dan antara Paya Luboh ke Kampung Bukit Berlian.

“Kos pembinaan itu akan menelan belanja kira-kira RM40 juta, namun ia akan menyelesaikan isu banjir kilat ini untuk jangka masa panjang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI