fbpx

Pekerja kereta api Britain lancar mogok terbesar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mogok itu perlu dilakukan kerana kadar gaji gagal seiring dengan paras inflasi di Britain. - AFP

LONDON – Pekerja-pekerja kereta api Britain semalam me­lancarkan mogok terbesar dalam tempoh lebih tiga dekad selepas krisis kos sara hidup yang berpunca daripada peningkatan mendadak inflasi, berisiko menyebabkan protes serupa me­rebak ke sektor-sektor lain.

Rundingan terakhir bagi mengelakkan mogok itu gagal kelmarin sekali gus mendorong lebih 50,000 anggota Kesatuan Pekerja Kereta Api (RMT) me­lancarkan mogok selama tiga hari pada minggu ini.

Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch menyifatkan tawaran kenaikan gaji di bawah paras inflasi oleh dua pengendali kereta api bawah tanah dan syarikat London Underground yang menguruskan laluan Tube di London sebagai ‘tidak boleh diterima’.

Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps ketika mengulas isu tersebut berkata, kerajaan melakukan segala yang termampu untuk meminimumkan ‘gangguan perjalanan besar-besaran’.

“Dianggarkan sekitar 20 peratus perkhidmatan akan ber­operasi, namun tertumpu kepada golongan pekerja utama, pusat populasi utama dan laluan barang kritikal,” katanya di Parlimen kelmarin.

Mogok itu yang juga akan diadakan esok dan Sabtu ini, be­risiko menjejaskan acara utama termasuk Festival Muzik Glastonbury.

Sekolah-sekolah pula memberi amaran bahawa beribu-ribu pelajar yang menduduki peperiksaan nasional akan turut terjejas.

Mogok tersebut adalah pertelingkahan industri terbesar melibatkan rangkaian kereta api Britain sejak 1989, demikian menurut RMT.

Pengendali-pengendali sistem kereta api bagaimanapun memberi amaran bahawa gangguan perkhidmatan dijangka berlaku sepanjang minggu ini termasuk di laluan-laluan  yang tiada mogok.

Anggota-anggota RMT yang bekerja dengan London Undeground turut mengadakan mogok selama 24 jam melibatkan tren Tube semalam.

Menurut RMT, mogok itu perlu dilakukan kerana kadar gaji gagal seiring dengan paras inflasi di Britain. Kadar inflasi di negara berkenaan melambung dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan dijangka   terus meningkat.

Mogok di Britain itu berlaku ketika negara-negara di seluruh dunia berdepan kenaikan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh beberapa dekad selepas perang di Ukraine dan kelonggaran berperingkat perintah berkurung Covid-19 di China mendorong harga bahan api dan makanan melambung tinggi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI