fbpx

Setahun pindah, rumah Lisdawati rosak dilanda ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LISDAWATI bersyukur kerana kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku di rumahnya tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

PETALING JAYA – Insiden kereta dihempap dahan, manakala bahagian bumbung tepi rumah tercabut akibat ribut malam semalam membuatkan pelakon Lisdawati terkejut, namun bersyukur tiada kecederaan atau babitkan kemalangan jiwa.

Katanya, kejadian hujan lebat berserta angin kencang adalah yang pertama kali dihadapi keluarganya sejak berpindah ke kediaman baharu mereka di Melawati, ibu kota sekitar setahun lalu.

“Awalnya saya sangka cuaca seperti beberapa hari sebelum ini dengan hujan turun pada waktu petang dan kemudian reda menjelang malam.

“Situasi malam tadi (kelmarin) sangat berbeza kerana dari dalam rumah kita boleh dengar ribut menderu-deru selain bunyi seakan benda berhentam diterbangkan angin.

“Saya setakat berani mengintai dari tingkap dan nampak angin berpusing. Mujur suami dan anak-anak semua sudah ada di rumah ketika angin semakin kuat sekitar pukul 8.30 malam.

“Selepas reda, kami periksa sekeliling. Ada kerosakan sedikit pada bahagian bumbung. Kereta di depan rumah juga kena hantar bengkel selepas dihempap dahan pokok besar. Apa pun, syukur semua selamat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, lebih tiga jam masa yang diambil untuk mengemas sekitar rumah selain membaiki kerosakan.

“Terima kasih kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang membantu memotong dan mengalihkan dahan.

“Saya difahamkan sepanjang jalan ke kawasan kejiranan kami memang banyak kejadian pokok tumbang sekali gus menutup laluan. Pagi tadi boleh nampak lagi impak ribut. Alhamdulillah, semuanya sudah dibersihkan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kerjaya seni, aktres berusia 43 tahun itu memaklumkan sudah sedia ‘turun’ ke lokasi penggambaran selepas hampir enam bulan menguruskan keluarga di rumah.

Kali terakhir berada di set adalah pada penghujung tahun lalu menjayakan drama bersiri Tarik Aku Ke Syurga yang menggandingkan Zul Ariffin dan Nelissa Nizam sebagai watak utama.

Katanya, selepas menyempurnakan drama yang akan mengisi slot Samarinda di TV3 dalam masa terdekat itu dia hanya memperuntukkan masa di rumah.

Bukan enggan keluar bekerja, sebaliknya mungkin ada yang menyangka dia belum sedia bekerja selepas ketiadaan pembantu yang baharu berhenti.

“Sejujurnya saya memang mahu sangat bekerja, tetapi dalam tempoh hampir enam bulan ‘berehat’ belum muncul tawaran baharu sedangkan hati sudah bergelodak ingin bekerja.

“Apabila sudah biasa lincah ke sana sini bekerja sambil menguruskan keluarga memang rasa berbeza. Apa pun saya tetap bersyukur dapat penuhi masa dengan anak-anak terutama si kecil yang berusia tiga tahun lebih.

“Ada hikmah sebenarnya duduk rumah. Walaupun tiada lagi pembantu sejak Disember tahun lalu, rasanya tiada masalah kalau saya mahu masuk set sebab keluarga terdekat boleh jagakan mereka sekejap,” katanya lagi.

Rumah tangga pemilik nama sebenar Nisdawati Nazaruddin itu dengan Fauzi Nawawi yang dibina pada 2007 dikurniakan empat cahaya mata selain diserikan empat lagi permata hati hasil perkahwinan terdahulu suaminya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI