fbpx

Kemenangan Harimau Malaya beri 1,001 makna kepada Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI – Kejayaan Harimau Malaya melayakkan diri ke Piala Asia selepas berjaya menundukkan Bangladesh 4-1 semalam membawa 1001 makna khususnya kepada negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat 15 pemain dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) membarisi skuad negara pada kelayakan kali ini.

Menurut beliau, pihaknya turut bersyukur kerana Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah meletakkan batu asas kepada pembangunan bola sepak negara.

“Tahniah saya ucapkan atas kejayaan skuad kebangsaan selepas berjaya menamatkan penantian selama 42 tahun (untuk) layak ke Piala Asia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor amat bersyukur dengan usaha dan sokongan berterusan Tunku Ismail merevolusikan sukan bola sepak daripada pelbagai aspek.

“Tahun ini juga merupakan tahun paling membanggakan buat rakyat Johor apabila JDT berjaya melangkah ke pusingan kedua ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama.

“Saya berdoa agar kejayaan ini bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya satu permulaan bagi bola sepak Johor terus memahat nama di persada dunia,” ujarnya.

Semalam, Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan diraih anak didik Kim Pan Gon itu meletakkan Malaysia selaku naib juara Kumpulan E dan berada dalam kalangan lima terbaik dari enam kumpulan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI