fbpx

Kanak-kanak 10 tahun diselamatkan selepas 4 hari jatuh perigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Rahul ketika berada di dalam perigi tersebut. - OTV

NEW DELHI – Pasukan kecemasan India berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terjatuh dan terperangkap di dalam sebuah perigi sempit selama lebih empat hari, kata kerajaan negeri.

Rahul Sahu, yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan diselamatkan lewat semalam.

Dia terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter pada Jumaat petang lalu ketika bermain di belakang rumahnya di negeri Chhattisgarh.

Jentera penolak tanah dan kren digunakan untuk menggali satu terowong bersebelahan perigi tersebut, yang mempunyai kelebaran kecil. Tentera dan pasukan agensi tindak balas bencana turut sama menyertai misi menyelamat tersebut.

“Rahul telah diselamatkan dan berada dalam keadaan baik hasil daripada doa orang ramai dan usaha menyelamat berterusan pasukan kecemasan,” kata Ketua Menteri, Bhupesh Baghel di Twitter.

Sementara itu, Ketua Pentadbiran Daerah Tempatan, Jeetendra Shukla berkata, kanak-kanak tersebut masih hidup namun berada dalam keadaan lemah dan dikejarkan ke hospital terdekat.

“Seekor ular dilihat berada dalam lubang yang sama, namun Rahul menunjukkan sikap berani dan kekal tenang ketika operasi menyelamat dilakukan,” ujarnya.

Pegawai tempatan berkata, cuaca buruk dan ular berbisa serta kala jengking yang berada dalam lubang perigi tersebut menyukarkan usaha menyelamat dilakukan.

Ketika operasi berjalan, sebuah kamera digunakan untuk memantau keadaan kanak-kanak tersebut serta pergerakannya, kata Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal kepada AFP.

“Memandangkan dia tidak boleh bercakap atau mendengar, kami berdepan cabaran yang besar,” katanya.

Selain itu, sebatang paip oksigen turut disalurkan kepada Rahul ketika proses menyelamat dilakukan bagi menyalurkan udara segar kepadanya. Usaha menggali terowong turut menjadi sedikit perlahan disebabkan terdapat banyak batu keras di bahagian bawah tanah. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI