fbpx

Gagal berniaga, Daniel Lee kembali masuk studio muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIEL LEE

PERNAH meraih populariti sebagai penyanyi, Daniel Lee mengakui terpaksa melupakan arena nyanyian sekitar 2015 gara-gara tidak mampu bertahan, mungkin lagi relevan untuk bersaing dengan bakat-bakat baharu.

Situasi getir tersebut sekali gus membawa Daniel meneroka perniagaan borong makanan laut beku selain menjadi pembancuh kopi.

Kata bekas juara Malaysian Idol musim kedua (MI2) itu, kurang minat selain terlalu hijau dalam menempuh ranjau bisnes turut membawanya mencuba pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup, termasuklah menceburi bidang pengurusan kewangan.

“Saya akui silap percaturan apabila tidak menghasilkan lagu bahasa Melayu selepas single Mimpi sebaik menjuarai MI2. Akhirnya nama saya kurang menyerlah dalam arena muzik tempatan.

“Ketika itu keinginan menembusi pasaran China dan Taiwan membuak-buak hingga saya memilih untuk menghasilkan album berbahasa Cina terlebih dahulu.

“Hakikatnya, cubaan menembusi pasaran luar sangat sengit biarpun sudah banyak kos dilaburkan hingga saya hampir berputus asa apabila undangan pentas juga semakin kurang.

“Tiada pendapatan antara faktor saya tumpukan perhatian terhadap bisnes selepas sedekad menyanyi, tetapi itu pun tidak menjadi. Kemudian bermacam kerja lagi saya lakukan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, rasa cinta menebal terhadap muzik mendorong penyanyi berusia 40 tahun itu kembali menyanyi pada 2017 bersama semangat baharu.

“Tetapi selepas itu, saya sedari muzik satu-satunya kerjaya yang paling saya minat dan tidak seharusnya putus asa. Disebabkan itu, saya nekad kembali dalam industri muzik pada 2017,” katanya.

DANIEL LEE kini aktif sebagai pengarah atau koreografi vokal membantu kelancaran proses rakaman lagu di studio, khususnya dalam kalangan pendatang baharu.

Cabaran, PKP

Biarpun sekali lagi berdepan ujian apabila Covid-19 melanda dunia, pembabitan di belakang tabir sebagai pengarah vokal membolehkan Daniel bekerja dari rumah sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akuinya, pengarah atau koreografi vokal antara yang dicari ramai penyanyi sebelum masuk ke studio.

Atas permintaan yang tinggi, jadual kerjayanya sentiasa padat, terutama selepas semua sektor kembali bernafas.

“Saya tidak pernah menyesal berehat selama tiga tahun kerana semua pengalaman itu menjadi semangat untuk saya kuat melangkah.

“Dari situ juga saya tahu kekuatan saya adalah nyanyian dan muzik. Apabila kembali semula ke arena ini, saya cabar diri kongsikan sesuatu yang saya raih daripada pengalaman sendiri.

‘Tanggungjawab saya tertumpu dengan mengajar artis muda mengasah corak atau koreograf vokal mereka terutama untuk rakaman single mahupun album.

“Saya juga masih mengambil tawaran mengadakan persembahan pentas. Saya yakin industri hiburan tempatan akan kembali hangat seperti dahulu,” katanya yang bakal menjalin kerjasama dengan Quinton Academy.

Masih belum bersedia mendedahkan projek dengan institusi pengajian seni terkenal yang berpangkalan di Skypark One City tersebut, Daniel bagaimanapun berkata, Quinton Academy membabitkan perkongsian ilmu dalam industri seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI