fbpx

Rumah banglo transit simpan 2,474 karton rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nor Yhazid (tengah) menunjukkan rokok-rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Kampung Telok Kitang, Kota Bharu kelmarin. - Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Taktik seorang lelaki yang menjadikan sebuah rumah banglo dua tingkat di Kampung Telok Kitang di sini sebagai transit untuk menyimpan sebanyak 2,474 karton rokok seludup bernilai RM277,000 terbongkar selepas polis menyerbu rumah berkenaan malam kelmarin.

Lelaki yang berusia 30-an itu dicekup kira-kira pukul 10 malam semasa 11 pegawai termasuk anggota polis menjalankan Op Kontraban di rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Datuk Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, semasa serbuan dijalankan, suspek berada di rumah berkenaan bersama isterinya yang menyedari kehadiran pasukan polis.

Menurutnya, polis terus menjalankan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan sebelum menemui kotak-kotak coklat yang diletakkan di bahagian ruang tamu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kotak-kotak itu telah menemui sebanyak 2,474 karton rokok pelbagai jenama termasuk rokok keretek yang dianggarkan bernilai RM277,000.

“Siasatan mendapati, suspek aktif menjalankan kegiatan penyeludupan rokok sejak Mac lalu. Kesemua rokok-rokok itu dipercayai dibawa masuk secara haram melalui perairan negara untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nor Yhazid, polis masih menjalankan siasatan pembekal rokok-rokok itu kepada suspek dan sedang mengesan dalang yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI