fbpx

Pembantu kedai meninggal dunia ketika solat asar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa jemaah wanita membantu menyempurnakan kedudukan Norhayati selepas meninggal dunia di Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh semalam.

PASIR PUTEH – Seorang pembantu kedai warga Thailand meninggal dunia ketika menunaikan solat asar di Masjid Ibrahimi di sini semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.55 petang itu, wanita yang dikenali sebagai Norhayati Mustafa, 56, dilihat berada dalam keadaan sujud pada rakaat kedua sehingga selesai solat.

Imam Tua Masjid Ibrahimi, Mohamad Sabri Abdul Ghani berkata, wanita berkenaan tidak bangun daripada sujud dan menghembuskan nafas terakhir selepas ditelentangkan sebelum diajar mengucap kalimah syahadat.

Menurutnya, jemaah yang berada di saf wanita membantu mengubah kedudukan mangsa selepas solat kerana mengesyaki sesuatu apabila Norhayati dilihat tidak bangun daripada sujud dalam tempoh yang lama.

“Kami mengenali mangsa kerana dia merupakan isteri ketiga kepada seorang penduduk di sini yang sudah meninggal dunia 13 tahun lalu. Norhayati juga sudah lama bekerja sebagai pembantu kedai di Pasar Siti Hajar di sini untuk membesarkan lima anaknya selepas kematian suami.

“Dia yang berasal dari Wilayah Yala, Thailand malah dikenali oleh semua ahli khariah masjid dan peniaga sekitar bandar ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohamad Sabri, ia merupakan kejadian pertama jemaah meninggal dunia semasa menunaikan solat di Masjid Ibrahimi dan pihak masjid mengambil tanggungjawab membantu keluarga mangsa termasuk menanggung segala kos pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pegawai kesihatan memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung serta kencing manis dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI