fbpx

Elak bawa penyodok air masuk ke padang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MALAM ini adalah malam genting buat skuad Harimau Malaya. Malam genting yang akan meletakkan maruah bola sepak negara pada situasi dipuji ataupun dikeji.

Jika menang dan tiga mata diraih, maka peluang Malaysia ke pentas Piala Asia secara merit akan terbuka. Namun, andai sebaliknya berlaku, ia bakal menjadi detik hitam kepada bola sepak negara.

Malah, mata lebih 32 juta rakyat Malaysia akan tertumpu ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melihat nasib sebenar Harimau Malaya.

Bersama mereka adalah lebih 60,000 penyokong jersi no. ‘12’ yang akan menjadi saksi di gelanggang keramat untuk melihat kehebatan anak-anak Malaysia di atas padang.

Hakikatnya, kita bukan menentang pasukan handalan dunia seperti Sepanyol mahupun gergasi Asia seperti Jepun, tetapi misi Harimau Malaya malam ini hanya untuk membenam pasukan ranking ke-188, Bangladesh.

Di atas kertas, ia bukan misi mustahil, tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Selepas dua aksi kelayakan Kumpulan E, Malaysia menduduki tangga kedua, berkongsi tiga mata bersama Turkmenistan, manakala Bahrain selesa selaku pendahulu dengan enam mata. Bangladesh di tangga tercorot tanpa kemenangan.

Bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), perlawanan menentang Bangladesh bukanlah semata-mata kepada aksi kalah menang, tetapi lebih daripada itu adalah mengenai kerja profesional badan induk itu.

Sebagai sebuah persatuan sukan utama di negara, FAM pastinya cukup mahir dalam selok belok penganjuran bola sepak bertaraf dunia.

Malaysia sendiri pernah menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak utama termasuk Piala Dunia Remaja tahun 1997. Antara bintang dunia yang beraksi ketika itu ialah Michael Owen, Thierry Henry, Pablo Aimar dan Juan Roman Riquelme.

Tahun 2007, kita turut dipilih sebagai penganjur bersama bagi kejohanan Piala Asia bersama-sama Thailand, Indonesia dan Vietnam. Perlawanan dilangsungkan di dua lokasi iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam.

Malangnya, pada tahun 2022 ketika segala teknologi dan kemajuan berada di hujung jari, nama Malaysia tiba-tiba terpalit gara-gara insiden penyodok air ketika Harimau Malaya menentang Bahrain.

Tidak hanya disaksikan oleh rakyat Malaysia, malah insiden lucu dan kurang profesional ketika kerja-kerja membuang air yang bertakung di padang ekoran hujan lebat turut menjadi bahan gurauan di media sosial.

Sedih dan kesian sebenarnya dengan apa yang berlaku. Ia tentang bagaimana pihak penganjur menghadapi sesuatu situasi dengan bijak dan bukannya hanya melepas batuk di tangga.

Rakyat Malaysia mungkin boleh melupakan setiap kekalahan, tetapi bukan disajikan dengan ‘drama-drama’ lucu di atas padang. Kalau boleh, biarlah kita melangkah megah ke pentas Piala Asia dengan cara profesional dan paling diingati.

Cendikiawan Indonesia, Hamka ada berpesan, sebesar-besar atau seberat-berat urusan, jangan dihadapi dengan muka berkerut, kerut muka itu dengan sendirinya menambahkan lagi kerut sesuatu tugasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI