AMINAH menjerit ketakutan selepas melihat satu lembaga besar berada di sisinya ketika terjaga dari tidur. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Hampir ditiduri makhluk disangka suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN diganggu lembaga menyeramkan dan bunyi pelik pada awal pagi ketika tinggal di pangsapuri yang disewa tidak mungkin dilupakan pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga.

Menurut Aminah (bukan nama sebenar), impian untuk mengecapi kehidupan dan aman dan tenang selepas berumah tangga tidak kesampaian apabila saban malam diganggu perkara menyeramkan.

Katanya, bukan sahaja diganggu bunyi agak pelik, malah lebih malang lagi dia juga hampir ditiduri lembaga hitam yang disangka suaminya.

“Saya sudah berasakan kawasan perumahan tersebut seperti ada sesuatu tidak kenan sewaktu pertama kali melihatnya.

“Mahu sedapkan hati, suami mula memujuk dan mendakwa ia mungkin disebabkan rasa sunyi kerana pertama kali berjauhan dengan keluarga,” ujarnya.

Bercerita lanjut, wanita yang berasal dari selatan tanah air itu memberitahu, pada malam pertama tinggal di kediaman tersebut, dia diganggu ketika mandi.

Pintu yang dikunci tidak boleh dibuka sehingga suaminya terpaksa memanggil jiran untuk datang membantu.

Malam itu pula, tidur Amirah dan suami diganggu bunyi kanak-kanak berlari yang datang dari rumah di tingkat atas.

Biarpun tidak melelapkan mata dan berang dengan gangguan itu, namun mereka bersabar dan enggan membuat aduan kerana tidak mahu menimbulkan salah faham antara jiran.

Setiap hari perkara sama berlaku.Kadangkala terdengar bunyi guli dan adakalanya ketukan batu lesung kedengaran dengan kuat.

“Rimas dengan situasi itu, saya mengadu dengan rakan sekerja. Ada antara mereka cuba menakut-nakutkan saya dengan mengatakan bunyi itu disebabkan gangguan makhluk halus.

“Tetapi saya enggan percaya dengan cerita-cerita mistik tersebut.

“Bengang apabila setiap malam diganggu dengan bunyi tersebut, saya nekad mengetuk pintu rumah jiran sebelah pada pukul 1 pagi
bersama suami untuk mengadu.

“Alangkah terkejutnya kami apabila diberitahu, rumah di tingkat atas tidak berpenghuni dan sudah lama kosong,” ujarnya.

TIDAK tahan diganggu bunyi dari tingkat atas, Aminah nekad mengetuk pintu jiran sebelah untuk mengadu. –GAMBAR HIASAN

Sebaik mengetahui perkara itu, mereka mula kecut perut dan sejak itu, kehidupan pasangan tersebut semakin tidak tenteram.

Kata Amirah, dia mula membuat pendinding, tetapi kesemuanya hanya bertahan seketika sebelum mereka diganggu semula beberapa hari kemudian.

“Setakat diganggu dengan bunyi guli, lesung berlaga, kaki dihentak kuat, terlihat lembaga melintas ataupun pintu terkunci secara tiba-tiba merupakan perkara biasa.

“Apa yang tidak mungkin dilupakan apabila saya hampir ditiduri oleh satu lembaga hitam yang sangat besar,” katanya.

Kata Aminah, pada malam kejadian, dia masuk tidur awal, manakala suaminya menonton perlawanan bola sepak sehingga lewat malam di ruang tamu.

Sedang lena diulit mimpi, Aminah dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang mengelus manja rambutnya.
Wanita ini mula membuka mata sebelum menjerit ketakutan apabila terlihat satu lembaga hitam berada di sebelahnya.

“Suami saya meluru masuk ke dalam bilik dengan keadaan tergesa-gesa. Saya menangis dan menceritakan perkara yang terjadi.

“Kerana ketakutan yang amat sangat, kami keluar dan bermalam di hotel bajet sebelum mencari rumah baharu keesokan harinya.

“Hampir dua minggu jugalah kami bermalam di hotel bajet kerana trauma dengan tragedi tersebut, sementara mendapat rumah sewa baharu,” luahnya.

Terangnya, biarpun insiden tersebut sudah lebih setahun berlalu, namun ia meninggalkan trauma kepadanya dan masih dihantui perasaan takut sehingga ke hari ini.

“Saya tidak boleh tidur jika bilik gelap ataupun terdengar bunyi. Semuanya mengganggu fikiran saya,” tambahya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN