fbpx

Pearly-Thinaah kalah bermaruah di Indonesia Masters

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (kanan) dan Thinaah terus kempunan untuk melangkah ke pentas final pertama musim ini selepas tewas di separuh akhir Indonesia Masters di Istora Senayan sebentar tadi.- BAM

KUALA LUMPUR – Langkah beregu wanita kebangsaan, Pearly Tan-M. Thinaah pada kejohanan badminton Indonesia Masters terhenti di separuh akhir selepas tewas 23-21, 14-21, 14-21 kepada wakil tuan rumah, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Pada perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, kedua-dua beregu menampilkan aksi cukup bertenaga dan menghiburkan apabila saling berbalas serangan.

Sorakan gemuruh yang diberikan penonton di stadium turut menghangatkan lagi perlawanan tersebut selain memberi kelebihan kepada Rahayu-Ramadhanti dalam usaha mereka melangkah ke pentas final.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah bermula langkah kanan pada perlawanan itu apabila memenangi set pertama 23-21 meskipun lebih banyak mengekori gandingan Indonesia tersebut dalam hampir keseluruhan permainan.

Tersentak dengan kekalahan itu, Rahayu-Ramadhanti kembali memperkemaskan permainan di set kedua dan berjaya mendahului 15-11, sekali gus memberi tekanan buat beregu negara untuk melakar kebangkitan.

Hasilnya, Pearly-Thinaah melakukan banyak kesilapan mudah, terutamanya di hadapan jaring sehingga membolehkan pemain lawan menang 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, Malaysia bermula baik apabila mendahului perlawanan 3-1 sebelum Rahayu-Ramadhanti mula mengorak langkah dengan memintas kedudukan dan memimpin perlawanan 5-3 seterusnya mula menjarakkan diri.

Menghampiri penghujung perlawanan, Pearly-Thinaah masih belum berputus asa untuk mengejar dan merapatkan kedudukan biarpun ketinggalan agak jauh dengan 13-19.

Walaupun sudah melakukan yang terbaik untuk melakar kebangkitan di tempat lawan, namun ia masih belum mampu untuk menghalang beregu Indonesia mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan 21-14 di set penentuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI