fbpx

Dahulu kontrak 2 tahun tak boleh berhijab – Fouziah Gous

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Fouziah, dia yang banyak mengehadkan diri kembali berlakon meskipun suami sangat memberi sokongan.

PETALING JAYA – “I’m not like before (bukan macam sebelum ini), saya pun dah berhijab.”

Demikian jawapan yang diberikan pelakon dan usahawan, Datin Fouziah Gous atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd. Gous menjawab pertanyaan ramai apabila tidak lagi aktif dalam dunia lakonan.

Fouziah, 40, bagaimanapun bersyukur melihat perkembangan dunia lakonan tanah air sekarang yang disifatkannya lebih terbuka penerimaan untuk wanita berhijab berbanding dahulu.

“Sekarang saya rasa sangat bersyukur sebab saya suka tengok industri. Memang ada cabaran tapi berbanding dahulu, nak tengok wanita berhijab diterima sangat terhad, sekarang orang dah lebih terbuka penerimaan.

“Waktu saya dahulu, endorsement kalau kita ‘sign’ sekalipun, tertera dalam kontrak seseorang itu tak boleh berhijab dalam tempoh dua tahun dan sebagainya.

“Tapi, sekarang saya rasa benda itu dah tak wujud sebab penerimaan orang sekarang dah bersifat lebih terbuka dan lebih menyesuaikan diri dengan peredaran masa dan situasi semasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Getus ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, lakonan adalah lakonan dan apa yang dipaparkan baik di kaca televisyen mahupun layar perak tidak melambangkan imej atau peribadi seseorang dalam kehidupan realiti.

“Bagi saya, lakonan adalah lakonan. Secara peribadi, limitasi dari segi imej untuk berlakon itu tiada. Berlakon pun sebenarnya masih boleh tutup aurat, mengapa tidak,” ujarnya.

Ditanya sama ada suami, Datuk Mohd. Zhafran Md. Yusof tidak membenarkan dirinya terus aktif dalam dunia lakonan, Fouziah menafikan perkara tersebut.

“Suami saya lagi bersikap terbuka sebenarnya. Saya yang sedikit bertentangan tapi orang tak kenal (tahu).

“Suami saya memang tak kisah sejak mula berkahwin, memang sangat menyokong tapi sejujurnya, saya yang banyak terhadkan diri. Suami banyak membenarkan tapi saya yang sebenarnya, tak nak,” ujarnya.

Untuk rekod, kali terakhir Fouziah berlakon menerusi drama berjudul Sara Sajeeda yang ditayangkan tiga tahun lalu sebelum kini fokus dalam bidang perniagaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI