fbpx

Masa bola sepak Malaysia bangun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BOLA sepak kekal sukan paling popular di negara ini. Tidak kira negara berada di tangga lebih 150 dalam ranking dunia, sukan itu kekal dekat di hati peminat.

Peminat bola sepak juga antara paling passionate atau lantang. Lihat sahaja apabila Liverpool tewas kepada Real Madrid. Penyokong yang benci Liverpool bersuka ria seperti kena loteri. Media sosial sibuk ‘kutuk mengutuk’ antara seteru.

Sukan ini menjana keghairahan yang sangat berbeza berbanding acara lain. Bola sepak kebangsaan mula melekat di bibir peminat. Di sukan SEA, Malaysia berjaya ke separuh akhir sebelum hati peminat dipatahkan tuan rumah Vietnam.

Pasukan utama kebangsaan pula memenangi dua perlawanan persahabatan menentang pasukan tidak ternama Brunei 4-0 dan kemudian Hong Kong yang berada sedikit di atas daripada Malaysia dalam ranking dunia.

Ia masih dua kemenangan untuk skuad Harimau Malaya di bawah Ketua Jurulatih baru Kim Pan-gon. Mungkin K-Bola yang dibawa Pan-gon seperti juga K-Pop, K-Food dan K-Drama mula meresap ke dalam naluri pemain.

Mungkin pemain diberi ‘kimchi’ untuk makan pagi, tengah hari dan malam. Atau ginseng kini dalam diet Harimau Malaya.

Senarai 23 pemain pasukan negara yang akan bertanding dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula esok di Stadium Nasional Bukit Jalil juga sudah diumumkan. Seperti dijangkakan lebih separuh pemain yang tersenarai dalam skuad kebangsaan adalah dari JDT. Itu tidak mengejutkan jika mengambil kira kejayaan pasukan Harimau Selatan itu.

Kini peminat menanti sama ada skuad kebangsaan kali ini dapat mengembalikan kegemilangan lampau seperti ketika Pestabola Merdeka yang mana negara dapat memberi saingan kepada Korea Selatan, menjaringkan gol sesuka hati terhadap Jepun dan bola sepak menjadi kegilaan rakyat.

Pan-gon berdepan tugas berat. Mana-mana jurulatih bertaraf dunia tahu pada akhirnya adalah mengenai kemenangan. Apa yang menjadikan Pep Guardiola, Jurgen Klopp dan Jose Mourinho hebat ialah kerana mereka sentiasa meraih piala yang diidamkan penyokong kelab masing.

Ketiga-tiganya meraih kejuaraan musim yang baru selesai. Dalam bola sepak, anda dikenang kerana piala yang dibawa pulang. Tiada siapa ingat jika anda berada di nombor dua atau memasuki final.

Harapan sama juga diletakkan ke atas Pan-gon. Peminat dahagakan kemenangan. Pada akhirnya, Pan-gon akan dinilai berdasarkan jumlah kemenangan atau sejauh mana negara layak ke peringkat lebih tinggi.

Selalunya yang dibuang bukan pemain yang gagal tetapi jurulatih. Pan-gon juga perlu berani. Pemain yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan harus dibuang tanpa mengira kelab mana atau berapa lama sudah menyumbang kepada kesebelasan utama atau jumlah kali mewakili negara.

Jurulatih-jurulatih yang berjaya tidak pernah takut dengan pemain. Lihat sahaja Pep atau Klopp, pemain utama yang tidak cemerlang, diletakkan di bangku simpanan. Siapa peduli mengenai status bintang atau jumlah jaringan masa dahulu.

Pada akhirnya ia mengenai keputusan pada wisel penamat dan bukan berapa kali menyepak bola dan peratusan penguasaan. Malaysia harus sedia bermain ‘buruk’ tetapi menang. Semua juara mampu mengubah cara untuk menang. Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Harapan peminat bola sepak terletak kepada Pan-gon dan 11 pemain utama di padang. Terlalu lama kita di senarai lebih 150 di dunia. Peminat berhak kepada sesuatu yang lebih baik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI