fbpx

Lelaki diberkas tidak serik curi kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Idzam (tengah) menunjukkan kenderaan yang berjaya dirampas kelmarin pada sidang akhbar di IPD Cheras, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki aktif terlibat dalam kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang pada petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis menjalankan tangkapan itu pada pukul 3 petang.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menahan seorang lelaki yang berusia 46 tahun itu di Flat Sri Sabah, di sini pada Ahad lalu.

“Hasil tangkapan, kita telah merampas lapan buah kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira, empat Proton Iswara, dua Proton Saga dan sebuah van,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati suspek menyasarkan kereta lama diparkir di tepi jalan bagi kegunaan sendiri sebelum mengambil alatan ganti kenderaan untuk dijual.

Jelasnya, suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan curi kenderaan dan enam rekod dadah selain aktif mencuri kereta di daerah Wangsa Maju, Brickfields dan Teluk Intan, Perak.

“Selain itu, saringan ujian air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan suspek direman selama empat hari bermula semalam dibawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Idzam memaklumkan bermula 1 Januari hingga 31 Mei lalu trend jenayah di Cheras cenderung kepada kegiatan curi kenderaan.

“Sehingga kini kita telah menerima laporan kecurian sebanyak 157 kenderaan melibatkan 76 kereta, 71 motosikal dan 10 van serta lori.

“Kita telah menuduh seramai 20 individu dan siasatan selanjutnya sedang giat dijalankan bagi membanteras kegiatan terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI