fbpx

Pekerja kontraktor mengaku salah cuba curi wang, rosakkan mesin ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Muhammad Fazlan (tengah) selepas dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini.

KUALA KRAI – Seorang pekerja kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba mencuri wang dan merosakkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Tanah Merah, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Fazlan Sha’ari, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Tuan Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan cubaan mencuri wang di dalam sebuah mesin ATM milik seorang lelaki di sebuah bank di Tanah Merah dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Fazlan juga didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan sebuah mesin ATM milik lelaki sama di sebuah bank di Tanah Merah dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di bank berkenaan kira-kira pukul 1.45 pagi pada 18 Mei lalu.

Mahkamah tidak membenar tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman pada 14 Jun ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki pulang dengan tangan kosong selepas cubaannya selama lebih sejam untuk memecah sebuah mesin ATM di sebuah bank dengan mesin pencanai gagal ekoran mesin tersebut dilengkapi sistem kod keselamatan.

Kejadian disedari oleh kakitangan bank berkenaan selepas melihat satu daripada tiga buah mesin ATM di bank itu rosak dengan terdapat kesan ditebuk pada bahagian bawah kira-kira pukul 7.16 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI