PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat kepada anakanda Baginda berdua, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, di Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook berkata, Majlis Pemakaian Pangkat itu disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda berdua kepada Tengku Amer Nasser yang dipakaikan pangkat Kolonel.
“Usai majlis ini, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan Majlis Mengangkat Sumpah anakanda Baginda berdua, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia.
“Turut hadir pada majlis ini, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd. Zain dan Asistan Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad,” katanya di sini hari ini.
Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser yang sebelum ini berpangkat Leftenan Kolonel dinaikkan pangkat Kolonel berkuatkuasa pada 7 April 2022 dan menjawat jawatan sebagai Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.
Manakala, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail dijadualkan akan menghadiri Commissioning Course di Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom bermula 22 Ogos 2022 hingga 18 Ogos 2023.
“Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst adalah pusat latihan tentera tersohor dunia.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga pernah menjalani latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst dari 1978 hingga 1979 dan turut diikuti Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menjalani latihan di Sandhurst dari 2018 hingga 2019,” jelasnya.
Katanya, antara lain yang menjalani latihan ketenteraan di akademi itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail , Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. – KOSMO! ONLINE














