fbpx

Belarus tawar bantuan kemanusiaan susu formula bayi buat AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stok susu formula bayi di AS mengalami krisis selepas kilang pembuatan susu Abbot Laboratories ditutup akibat pencemaran bahan sisa kimia. - Washington Post

MINSK – Presiden Belarus, Alexander Lukashenko membuat tawaran terbuka kepada Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bekalan susu formula bayi daripada negara itu bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di sana, lapor laman RT, kelmarin.

Tawaran tersebut disuarakan semasa Lukashenko mengulas mengenai kekurangan produk penting di AS dan kekangan usaha pentadbiran Presiden Joe Biden untuk menerbangkan bekalan.

“Kami mempunyai susu yang baik, produk daging yang baik untuk kanak-kanak, makanan dalam tin, formula, segala-galanya. Jika mereka suka, kami boleh menghantar bekalan esok,” katanya.

Pemimpin Belarus yang juga sekutu kuat Rusia kini berdepan sekatan dari AS kerana didakwa melanggar hak asasi manusia.

Namun beliau memaklumkan bersedia menawarkan bekalan tersebut sama ada sebagai produk komersial atau sebagai bantuan kemanusiaan.

Lukashenko percaya rakyat AS mampu membayar produk buatan Belarus malah menggesa media menyampaikan tawarannya kepada setiap penduduk AS.

Kekurangan susu formula bayi di AS dicetuskan oleh penutupan loji kendalian Abbott Laboratories di Michigan pada Februari lalu atas kebimbangan pencemaran sisa kimia.

Kemudahan itu menyumbang kira-kira 40 peratus daripada susu formula bayi di pasaran AS.

Keadaan bertambah kritikal apabila Abbott menarik balik beberapa produknya selepas empat bayi yang diberi susu formula dari loji tersebut mendapat jangkitan bakteria yang jarang berlaku.

Dua daripada mereka kemudiannya telah meninggal dunia.

Washington telah menghantar pesawat kargo tentera untuk mengangkut bekalan susu formula bayi dari Jerman.

AS juga sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak bekalan dari Britain dan Australia sebagai sebahagian daripada Operasi Terbangkan Susu Formula. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI