fbpx

Jimat masa, wang jika selesai luar mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

DALAM kehidupan yang serba mencabar setiap manusia tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Begitu juga dengan mereka yang pernah terbabit kes mahkamah antaranya kes saman sivil.

Tidak kiralah mereka golongan mana sama ada ahli politik, selebriti atau orang biasa sesiapa sahaja boleh terdedah dengan kes saman sivil di mahkamah.

Namun masih terdapat jalan penyelesaian daripada kedua-dua pihak yang terdiri daripada plaintif dan defendan untuk menyelesaikan kes melalui penghakiman persetujuan.

Syaratnya pihak-pihak perlu bulatkan hati mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes tanpa sebarang prejudis.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Dalam kes terbaharu, antara kes saman yang diselesaikan melalui penghakiman persetujuan adalah saman fitnah membabitkan pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung terhadap aktivis T. Arunakirinatha yang diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penghakiman persetujuan itu dicapai ketika prosiding diadakan secara dalam talian dan antara terma persetujuan itu ialah Arunakirinathan selaku defendan perlu memohon maaf secara bertulis dan menerusi rakaman video di Facebook terhadap Firdaus Wong selaku plaintif.

Bagi peguam Muhammad Akram Abdul Aziz, beliau berpendapat pihak yang terbabit dengan tuntutan saman terutamanya membabitkan saman fitnah, mereka boleh mencari jalan penyelesaian dengan menyelesaikan kes saman di luar mahkamah dengan bersama-sama bersetuju terhadap terma penyelesaian.

“Melalui penyelesaian ini membolehkan kedua-dua pihak menjimatkan masa dan wang ringgit tanpa perlu menghadapi perjalanan prosiding kes yang panjang, bagaimanapun pihak-pihak mestilah mematuhi terma penyelesaian yang telah dipersetujui,” kata peguam itu.

Tambah beliau, pihak yang ingin merekodkan penghakiman persetujuan ini juga perlu mengambil maklum dan benar-benar tahu implikasi persetujuan mereka dengan tidak hanya melihat kepada faktor masa dan kos sahaja.

Ini kerana impaknya mungkin akan muncul di kemudian hari jika pihak-pihak tidak berhati-hati atau semberono dalam memberikan persetujuan.

Sementara peguam syarie Mohd. Ridhwan Husin pula berpendapat, dalam kes melibatkan Mahkamah Syariah terdapat ke­lebihan sekiranya penghakiman persetujuan dibuat antaranya mampu mendamaikan pihak-pihak menyelesaikan kes secara baik.

“Maka tidak ada pendedahan aib dan pertelingkahan dalam kes Mahkamah Syariah ia kadang kala melibatkan ‘air mata’ (kesedihan) jadi melalui penghakiman persetujuan ia mampu menjaga kepentingan pihak-pihak tanpa mereka perlu menjalani prosi­ding yang panjang,” kata beliau.

Untuk rekod, antara sele­briti yang pernah mencapai kata sepakat melalui penghakiman persetujuan ialah pelakon popular Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila Mohd. Noor yang mana kedua-duanya bersepakat dengan tuntutan dalam satu perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Tuntutan sepakat melalui satu surat yang ditandatangani ke­dua-dua belah pihak antaranya membabitkan tuntutan nafkah edah, hadanah (hak penjagaan) dan nusyuz.

Noor Nabila yang ketika ditemui pada masa itu turut lega ke­rana dia dan Sharnaaz tidak perlu lagi datang ke mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN