fbpx

SPRM buka 25 kertas siasatan berkait isu perolehan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan bersama SPRM hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terdapat unsur rasuah dan penyelewengan melibatkan perolehan berkaitan Covid-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan siasatan yang dilakukan itu, beberapa individu juga telah dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Setakat ini beberapa individu telah dipanggil untuk diambil keterangan dan mungkin ada lagi yang akan dipanggil selepas ini bagi membantu siasatan melibatkan pelbagai aspek.

“Siasatan dilakukan mengikut pelbagai aspek melibatkan perolehan Covid-19 memandangkan setiap satu kertas siasatan yang dibuka adalah berbeza-beza,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan bersama SPRM di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! pada 24 Mei lalu melaporkan pendedahan oleh SPRM tentang kewujudan aktiviti penyelewengan membabitkan perolehan dalam perkhidmatan kesihatan.

Jelas SPRM, siasatan dilakukan merangkumi beberapa aspek membabitkan salah guna kuasa dalam agihan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi juga penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka, sarung tangan dan lain.

Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan akan melihat kepada keperluan untuk memanggil bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi membantu perjalanan siasatan kes berkenaan.

Dr. Adham dalam keterangan sebelum ini pernah menegaskan bahawa beliau bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM jika diperlukan.

“Saya tiada apa-apa nak sembunyi, malah saya bersedia berikan kerjasama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI