fbpx

Ukraine ikrar tawan semula Laut Hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kapal Tentera Laut Rusia di pelabuhan Laut Hitam Sevastopol, Crimea. - TOI

KIEV –  Menteri Pertahanan Ukraine, Alexey Reznikov mengisytiharkan bahawa Kiev akan ‘tetap menang’ dalam perang menentang Russia, lapor laman berita RT kelmarin.

Reznikov meletakkan harapannya kepada senjata yang dibekalkan  pihak asing terutamanya peluru berpandu antikapal oleh  Denmark.

Dalam hantaran panjang di laman Facebook Sabtu lepas, beliau mengucapkan terima kasih kepada sebilangan negara yang memenuhi stok peluru artileri Ukraine dan memuji Amerika Syarikat (AS) kerana membekalkan meriam 155 milimeter serta  lebih 100 dron pelbagai jenis.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pertahanan pantai negara kita bukan sahaja akan diperkuatkan oleh peluru berpandu Harpoon, senjata itu juga akan digunakan oleh pasukan kita yang terlatih,” tambahnya.

Semalam susulan mesyuarat secara online bersama sekutu-sekutu Washington, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengumumkan bahawa Denmark akan menghantar sejumlah misil Harpoon ke Ukraine.

Peluru berpandu A/U/RGM-84 Harpoon keluaran Boeing itu adalah misil pemusnah kapal standard yang digunakan oleh Tentera Laut AS. Misil itu mempunyai jarak sasaran sekitar 300 kilometer dan dilengkapi radar aktif untuk membantunya sampai ke sasaran.

Harpoon biasanya dilancarkan sama ada dari kapal perang atau jet pejuang tetapi pelancarnya turut boleh dipindahkan untuk kegunaan darat.

“Saya yakin peluru berpandu Harpoon dan Neptune akan membantu kita membebaskan dan menjadikan Laut Hitam kembali selamat di samping membantu melindungi Odessa,” kata Reznikov. Neptune merujuk kepada peluru berpandu kruz keluaran Ukraine yang didakwa Kiev digunakan untuk memusnahkan kapal perang utama Russia pada April lalu.

Reznikov bukan pegawai Ukraine pertama mengeluarkan kenyataan penuh yakin untuk menawan semula Laut Hitam yang sebahagian besarnya dikuasai oleh Tentera Laut Rusia sejak awal konflik tercetus.

Selepas penghantaran peluru berpandu Harpoon diumumkan kelmarin, Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashchenko pula mengeluarkan kenyataan bahawa AS sedang bersiap sedia untuk memusnahkan Armada Laut Hitam Rusia, namun Pentagon segera menafikannya.

Usaha terdahulu Ukraine untuk menawan pos kawalan Laut Hitam di Pulau Ular gagal. Russia menyatakan bahawa serangan ke atas pulau itu awal bulan ini menyebabkan Ukraine kehilangan  30 dron, 14 pesawat dan tiga buah kapal.

Kiev menuduh Russia menyekat pelabuhan utamanya di bandar  Odessa sekali gus menghalang penghantaran makanan daripada memasuki atau keluar dari Ukraine. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI