fbpx

Keunikan aiskrim misai kucing UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISKRIM misai kucing yang unik dan membangkitkan selera.

LAZIMNYA herba misai kucing atau nama saintifiknya, Orthosiphon stamineus sering ditanam sebagai pokok perhiasan kerana kecantikannya.

Dalam perubatan tradisional pula, penggunaan misai kucing sudah tidak asing lagi terutamanya dalam merawat tekanan darah tinggi, kencing manis, diabetes dan batu karang.

Disebabkan kandungan khasiat dimiliki, dua pensyarah Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) terpanggil menghasilkan inovasi aiskrim daripada teh misai kucing.

Dr. Nur ‘Aliaa Abdul Rahman dan Prof. Madya Dr. Azhari Samsu Baharuddin berjaya menghasilkan ais krim tersebut hasil penyelidikan selama sebulan.

Menurut Dr. Nur ‘Aliaa, idea untuk menghasilkan aiskrim berkenaan timbul selepas kewujudan Ladang Agrivoltaic di UPM yang menempatkan kira-kira 25,000 pokok misai kucing.

“Saya rasa, UPM merupakan pihak pertama yang menawarkan aiskrim berperisa misai kucing di negara ini. Dalam bentuk uncang teh pun saya rasa masih ada lagi di pasaran,” ujarnya.

Menurut Nur ‘Aliaa, aiskrim tersebut terhasil daripada proses bancuhan sejuk daun misai kucing selama 20 jam sebelum teh yang terhasil diproses menjadi ais krim.

“Ais krim ini diformulasi dengan kalori rendah memandangkan produk yang dihasilkan menerusi Appetit Village berdasarkan kesihatan.

“Jenama aiskrim Appetit Village mula berada di pasaran pada November 2020. Ia merupakan salah satu daripada hasil inovasi teknologi daripada UPM,” katanya ketika ditemu bual Kampus baru-baru ini.

DR. NUR ‘ALIAA (kiri) turut mempromosikan aiskrim misai kucing yang kini boleh didapati di pasaran.

Menurutnya, inovasi aiskrim itu mengekalkan rasa semula jadi misai kucing serta khasiatnya dan pihaknya dalam proses menghasilkan label pada produk berkenaan.

Terang Nur ‘Aliaa yang juga merupakan seorang pensyarah, ais krim misai kucing tersebut akan memasuki pasaran menerusi jenama Appetit Village bermula pada Jun ini.

Katanya, harga anggaran aiskrim tersebut bermula RM8 bagi setiap cawan.

“Sehingga kini, Appetit Village sudah mengkomersial dan mempatenkan ais krim seperti musang king, D24, durian kampung, cempedak, nangka madu dan pelbagai lagi,” tegasnya.

Sementera itu, Azhari Samsu berkata, pihaknya yakin ais krim misai kucing berkenaan mampu bersaing dalam pasaran.

Ini memandangkan, katanya, UPM mempunyai sumber agrikultur yang boleh menghasilkan produk berasaskan herba.

“Setakat ini, sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat menggalakkan dan kami mempunyai kedai ais krim sendiri menerusi jenama Appetit Village yang sudah hampir dua tahun berada di pasaran.

“Pemilihan bahan-bahan dilakukan dengan teliti bagi menghasilkan ais krim berasaskan kesihatan.

“Ia mempunyai kualiti tekstur dan rasa yang setanding jenama komersial lain di pasaran,” katanya.

Bagi peminat aiskrim, mereka boleh mendapatkannya di AppetitTM Village di Saujana Impian, Kajang atau melayari laman sosial Appetit Village HQ (Facebook) dan @appetitvillage_hq (Instagram) untuk sebarang maklumat lanjut.

Dalam pada itu, Azhari memberitahu, Appetit Village bakal membuka cawangan di beberapa lokasi termasuk Shah Alam, Selangor; Putrajaya, Melaka, Kuantan, Pahang dan Kelantan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI