fbpx

Diari pelancongan VRRG kembali sibuk tahun 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan indah destinasi pelancongan VRRG yang menawarkan pengalaman berharga buat pengunjungnya.

PETALING JAYA – Mereka yang pernah berkunjung ke Villea Rompin Resort & Golf (VRRG) pastinya akan membawa pengalaman indah dan unik ketika bercuti di destinasi pelancongan yang terletak jauh dari Kuala Lumpur dengan pemanduan lebih daripada empat jam ke daerah Kuala Rompin, Pahang.

Terkenal dengan pelbagai jenis bilik yang menghadap taman, pantai dan Laut China Selatan selain penganjuran pelbagai majlis korporat atau agensi kerajaan, destinasi percutian itu kini kembali sibuk bermula awal tahun ini dan berterusan sehingga akhir tahun 2022.

VRRG adalah salah satu aset di bawah Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd. (Attana), syarikat pengurusan hospitaliti utama yang menguruskan portfolio hotel, resort dan kelab golf bernilai lebih daripada RM800 juta.

Siapa sangka resort yang berusia hampir lima tahun itu kini dikendalikan oleh seorang wanita yang sangat berpengalaman dalam bidang hospitaliti dan perhotelan iaitu Pengurus Resort, Azuera Pawanchek yang sentiasa peka, prihatin dan tidak segan silu ‘turun padang’ berdiri bersama rakan sekerjanya menyambut tetamu yang memasuki kafe di resort berkenaan seawal pukul 7 pagi.

“Dahulu hotel ini dikenali sebagai Lanjut Beach & Golf Resort sekali gus ia dapat mempopularkan daerah ini, apabila ia ditukar kepada VRRG, kami dapat mempromosikan Rompin dan kini nama itu sudah sinonim dengan pelanggan sedia ada dan juga yang baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

KOSMO!: Apa perkembangan terbaharu resort?
Azuera: VRRG tidak pernah ditutup operasinya meskipun semasa negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang tempoh pandemik lalu.

Kini kami kembali aktif de­ngan momentum sederhana termasuk pada bulan Ramadan, segmen makanan dan minuman (F&B) kembali mencatat peningkatan malah sasaran jualan juga berjaya dicapai malah lebih baik berbanding tahun lalu.

Apakah promosi yang dijalankan pada bulan Ramadan lalu?
Jualan untuk bufet Ramadan sangat menggalakkan khususnya daripada pelanggan sedia ada dan yang baharu. Kebanyakannya terdiri daripada syarikat perladangan yang mahu meraikan pelanggan masing-masing serta kakitangan bersama keluarga mereka. Maklumlah dua tahun mereka tidak membuat majlis berbuka puasa bersama.

Tempahan untuk berbuka puasa di sini lebih tinggi pada hari biasa berbanding hujung minggu dan ia boleh mencecah sehingga 250 orang dan sehingga pernah mencecah sehingga 300 orang dalam satu-satu masa. Ia adalah satu pencapaian buat resort ini dalam segmen F&B.

Apakah trend peningkatan kadar penginapan ini akan bertambah pada separuh masa kedua tahun ini?
Saya lihat trend peningkatan itu ada, kami menjangkakan kadar penginapan akan bertambah seiring dengan minat syarikat untuk mengadakan mesyuarat di luar selain pejabat. Tambahan pula, pintu sempadan negara telah dibuka dan kami optimis pelancong dari Singapura juga akan berkunjung ke sini.

Apakah keunikan resort ini yang menjadi tumpuan pelancong, meskipun lokasinya jauh terpencil di Kuala Rompin?
Kami sentiasa menawarkan pengalaman menarik dan unik buat pengunjung. Ia sebenarnya berbeza daripada tiga lagi pusat pelancongan di bawah Kumpulan Attana yang terdapat di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kelantan dan juga Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami memiliki kemudahan yang lengkap bermula daripada padang golf dengan 18 lubang, kolam renang yang luas, bilik yang menghadap pantai dan laut (tidak digalakkan mereka mandi di sana atas nasihat penduduk setempat kerana ia tidak selamat), selain itu juga berdekatan dengan Tioman Harbour (dahulunya dikenali sebagai Tanjung Gemuk) iaitu jeti popular untuk melancong ke Pulau Tioman serta juga berdekatan dengan Taman Negeri Rompin yang mengambil masa kira-kira setengah jam perjalanan.

Bagaimana pula sambutan daripada pelancong asing?
Sebelum ini, khususnya pada bulan Oktober, resort ini menjadi pilihan bagi pelancong asing yang menginap di sini untuk menyertai acara memancing ikan layaran yang terkenal di seluruh dunia. Kuala Rompin adalah salah satu lubuk bagi ikan layaran kepada kaki pancing kerana ia sukar untuk mendapatkannya.

Selepas menangkap ikan dan bergambar, selalunya ikan tersebut akan dilepaskan di lautan. Ini adalah acara tahunan dan selalunya resort ini akan dijadikan pilihan buat pelancong untuk menginap sepanjang acara memancing tersebut.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam industri perhotelan selepas pandemik?
Cabaran utamanya adalah untuk mengekalkan kakitangan sekali gus mahu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para pengunjung.

Kita perlu menjaga kebajikan rakan-rakan sekerja agar mereka sentiasa bersemangat dan gembira untuk bekerja. Apabila mereka suka pastinya mereka akan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.

Dalam tempoh endemik kini, banyak hotel mula kembali aktif dan mereka juga mahu mencari pekerja dan peluang untuk mereka terbuka luas untuk ditawarkan kemudahan dan gaji yang lebih baik.

Selain itu, saya selalu me­ngingatkan kepada semua rakan se­kerja agar melayan kerenah pelanggan yang sekali sekala ada yang menjangkaui pemikiran biasa.

Ada pelanggan yang memiliki kemahuan yang terlalu tinggi dan kita tidak harus menimbulkan isu dan bersoal jawab dengan mereka, Jika ada kesalahan yang dibuat, kita minta maaf dan uruskan isu tersebut dengan baik ke­rana daripada pengalaman yang lalu, kumpulan pelanggan inilah yang akan menjadi pelanggan setia kita selepas itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN