fbpx
KALI terakhir Raja Atiq mengalami kemalangan motosikal pada Mac lalu di Bukit Fraser, Pahang.

Kerap kemalangan, bapa suruh Raja Atiq jual motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas dua kali mengalami kemalangan, bapa Raja Atiq memintanya untuk menjual motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 miliknya.

Menurut Raja Atiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 22, selepas kemalangan kali pertama, dia telah membaiki dan menggunakan semula motosikal berkenaan.

Namun, dia masih belum membaiki motosikal tersebut selepas kemalangan terbaharu yang berlaku pada 11 Mac lalu di Bukit Fraser, Pahang.

“Abi (bapa) kata sudah dua kali kemalangan dengan motosikal yang sama, lebih baik saya jual sahaja.

“Lagipun saya baru berusia 22 tahun. Bagi Abi, saya masih terlalu muda untuk membawa motosikal berkuasa tinggi, lebih baik tunggu apabila lebih matang.

“Selepas kemalangan terbaharu ini, saya masih berfikir sama ada untuk membaiki semula atau menjualnya. Orang kata, jangan gunakan lagi kerana badi bimbang akan kemalangan sekali lagi,” kata Raja Atiq.

Kongsi pelakon yang mula popular dengan drama Nur itu, seumur hidupnya dia pernah mengalami kemalangan sebanyak tujuh kali termasuk melibatkan sebuah kemalangan kereta.

Sungguhpun mengalami trauma, namun Raja Atiq mengakui dia tidak serik untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Sebenarnya sudah banyak kali saya kemalangan motosikal dan sekali dengan kereta. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usia.

“Kalau kata trauma dan fobia, memang masih ada kerana selepas dua bulan kemalangan sakit pada bahagian bahu masih belum pulih sepenuhnya.

“Tetapi saya tidak serik untuk menunggang motosikal kerana sudah minat.

“Cuma  saya kini lebih berhati-hati, Abi berpesan wajah dan badan saya adalah aset untuk karier seni, jika cedera atau berparut secara tidak langsung akan menjejaskan sumber rezeki.

“Saya pula tidak pandai buat kerja lain selain berlakon. Sebab itu kalau boleh Abi tidak mahu saya membawa motosikal lagi buat masa ini,” tutur Raja Atiq.

Disebabkan kecederaan bahu yang dialami belum pulih sepenuhnya, Raja Atiq masih tidak melakukan aktiviti lasak termasuk adegan berlawan ketika berlakon.

“Sakitnya masih terasa sampai sekarang, tetapi saya sudah boleh bekerja seperti biasa cuma adegan yang lasak seperti berlawan saya masih belum berani lagi.

“Bagi kuatkan semula badan dan otot, saya akan kembali ke gimnasium kerana Jun ini saya akan menjalani penggambaran drama bersiri untuk Suhan Movies,” tutur Raja Atiq. – KOSMO! ONLINE

POPULAR