fbpx
ABDUL AZIZ menunjukkan ikan kelah seberat kira-kira 2kg yang berjaya dipancingnya menggunakan teknik casting di Sungai Sat, Jerantut.

Seronok buru kelah guna teknik casting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN kelah merupakan antara ikan air tawar yang kerap menjadi idaman kaki pancing memandangkan ia sukar untuk diperoleh dan diburu.

Sifatnya yang kerap mendiami kawasan sungai berjeram, selain sukar untuk menjamah umpan membuatkan spesies ikan air tawar itu mempunyai harga tinggi di pasaran khususnya kelah merah.

Kesukaran menjinakkan ikan tersebut membuatkan seorang pemancing, Abdul Aziz Mat Ariff, 36, semakin teruja memburunya.

Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, mula aktif memburu kelah sejak 15 tahun lalu selepas aktif memancing guna teknik casting.

“Kalau nak diikutkan, saya memang sudah lama meminati hobi memancing, sejak di bangku sekolah menengah.

“Tetapi selepas mempelajari teknik casting, saya mula berasa seronok kerana ia memberi lebih kepuasan ketika memburu ikan,” katanya yang merupakan lulusan diploma dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dari sebuah kolej swasta di negeri Pahang.

Menurutnya, walaupun dia turut memancing di pantai dan laut, tetapi kawasan sungai dan jeram lebih menyeronokkan terutama bagi memburu ikan sungai yang sememangnya mempunyai sifat sukar memakan umpan.

Katanya, antara lokasi yang kerap dikunjungi untuk memburu ikan sungai terutamanya kelah termasuk Sungai Lembing di Kuantan, Sungai Lepar (Gambang), selain Sungai Setia dan Sungai Sat di Taman Negara, Jerantut.

“Ramai kaki pancing beranggapan, ikan kelah sukar diburu menggunakan teknik casting, kebiasaannya mereka guna teknik bottom.

“Pemancing ikan sungai juga biasanya menggunakan umpan seperti isi kelapa sawit dan sebagainya untuk memancing kelah dan spesies ikan sungai lain.

“Bagi saya, memburu kelah menggunakan teknik casting menyeronokkan kerana lebih mencabar dan menguji kemahiran pemancing untuk menaikkan ikan sungai yang dikatakan sukar dipancing,” katanya.

IKAN sebarau seberat 3.1 kg yang berjaya dinaikkan Abdul Aziz di sebatang sungai di Temerloh.

Mengulas lanjut mengenai teknik itu, Abdul Aziz berkata, biasanya dia menggunakan batang pancing bersaiz 6 hingga 8 kaki dan dengan mesin pancing yang dipadangkan dengan tali bersaiz 5 hingga 7 paun.

Berbanding menggunakan umpan isi kelapa sawit atau seumpamanya, jelasnya, dia lebih gemar menggunakan gewang dengan berat antara 7 hingga 10 gram yang mempunyai warna berkilat.

“Faktor utama kenapa saya gemar guna gewang berwarna berkilat kerana ia mampu menarik perhatian ikan sungai seperti kelah, sebarau, tengas dan sebagainya untuk membahamnya.

“Gewang lebih sesuai dipadankan dengan teknik casting kerana pemancing perlu bergerak dan menarik tali sepanjang masa bagi membuatkan seolah-olah gewang bergerak dan berenang di dalam air,” ujarnya.

Bercerita lanjut, kata Abdul Aziz, biasanya dia akan berjalan dan meredah kawasan sungai sejauh 4 hingga 5 kilometer bagi memburu ikan sungai.

Ini kerana ujarnya, pemancing menggunakan teknik casting perlu aktif memburu dan mencari lubuk ikan dengan berjalan sepanjang sungai, bukan hanya mencampakkan umpan ke dalam air dan menunggu sahaja.


TENGAS KEJAR merupakan antara spesies ikan air tawar yang sukar diburu menggunakan teknik casting.

“Sejak aktif memancing guna teknik casting, saya pernah menaikkan ikan kelah seberat 2 kilogram (kg), selain tengas kejar 2kg, sebarau 3.1kg dan ikan sikang serta baung kenerak masing-masing seberat sekilogram.

“Jika dapat ikan berat kurang dari 300 gram, saya akan melepaskannya semula bagi memberi peluang ia untuk terus membesar di habitat semula jadi.

“Kesemua ikan yang dipancing tidak dijual, sebaliknya dijadikan hidangan untuk keluarga,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN