PETALING JAYA – Bilangan pelajar lelaki yang diterima untuk belajar dalam bidang perubatan ketika ini menjadi salah satu punca ramai doktor wanita tiada pasangan.
Pakar kesihatan awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, ketika ini pemilihan bagi pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan amat ketat dan sangat jarang pelajar lelaki yang diterima.
“Kadar bagi doktor lelaki ketika ini memang berkurangan, manakala pelajar dan doktor wanita semakin ramai, ini merupakan salah satu juga punca kenapa ramai doktor wanita tidak berkahwin.
“Nak kata adat itu tidak tetapi kebiasaan doktor akan berkahwin sesama doktor. Bukan memilih kerana hanya doktor yang memahami kerja sebagai doktor dan juga boleh dikatakan setaraf,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, bagi doktor wanita yang fokus untuk menjadi pakar, tempoh pembelajaran mereka juga panjang iaitu sehingga 10 tahun.
“Kalau nak jadi pakar terutamanya yang belajar di universiti tempatan, tempoh belajar mereka sehingga 10 tahun.
“Jika sambung belajar pada usia 25 tahun maka akan habis pada umur 35 tahun, golongan doktor wanita ni lain sebab kalau mereka sudah fokus maka untuk berkeluarga ini agak susah,” katanya.
Katanya lagi, ketika ini hanya segelintir lelaki berkualiti yang ada.
“Kualiti yang saya maksudkan adalah lelaki yang mampu menjaga keluarga, anak-anak seperti orang tua kita selama ini,” ujar beliau.














