fbpx
Ka Siong (kanan) bercakap pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini.

Lesen e-hailing digantung jika langgar surcaj tambang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) boleh menggantung lesen syarikat pengendali e-hailing sekiranya wujud pelanggaran terhadap surcaj tambang yang dikenakan kepada penumpang.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mengikut dasar ditetapkan sebelum ini, pengendali e-hailing diberi kelonggaran mengenakan surcaj maksimum sehingga 200 peratus daripada tambang asas.

Beliau berkata, pengendali e-hailing mengenakan tambang asas antara 70 hingga 90 sen bagi setiap kilometer (KM) berbanding RM1.25 setiap KM bagi perkhidmatan teksi.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang melakukan siasatan mengenai perkara itu dan jika wujud pelanggaran, lesen mereka akan digantung. Kita tengah siasat dari semua aspek kerana akhirnya perlesenan (kuasa memberi lesen) terletak pada MOT.

“Jangan paksa saya untuk ‘perang’ kerana apabila sampai satu tahap dan saya tiada pilihan maka, saya akan lakukan sesuatu termasuk mengawal selia industri ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, beliau juga mahu pengendali e-hailing menjawab sendiri rungutan orang awam atas apa isu yang berlaku ketika ini termasuk kenaikan tambang.

Ka Siong berkata, MOT tidak akan bantu mereka menerangkan apa masalah yang berlaku.

“Satu perkara yang saya tidak sedap dengar adalah mereka (pengendali e-hailing) dakwa MOT tidak bantu mereka dan ia tidak betul sama sekali.

“Kalau tak dapat cari pemandu, jangan marah kepada MOT. Ia bukan masalah kami, itu masalah kamu. Mereka tidak cukup orang (pemandu), kita pula dipersalahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR