fbpx
ROSSA

Menoleh kemilau 25 tahun Rossa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Datuk Rossa tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia arus industri hiburan Nusantara.

Mencipta nama sejak 25 tahun, ternyata berjaya menempatkan pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani sebagai penyanyi dalam liga­nya tersendiri.

Meraikan keberadaannya dalam industri seni lebih dua dekad, Rossa bakal menghiburkan lebih 5,000 peminatnya dalam sebuah acara gilang-gemilang, Rossa 25 Shining Years Concert di Istora Senayan Jakarta pada 27 Mei ini.

Pandemik

Menurut penyanyi berusia 43 tahun itu, acara tersebut merupakan konsert solo pertama dan terbesar sejak pandemik berlaku sekitar tahun 2020.

Menariknya, konsert tersebut membariskan empat pengarah pemuzik terkenal Indonesia yang pernah mengiringi persembahan-persembahan terdahulunya iaitu Dandy Lasahido, Risyanda, Eka Gustiwana dan Andi Rianto.

“Persiapan kini sudah 90 peratus termasuk pemilihan dan susunan lagu oleh para pemuzik yang bakal mengiringi.

“Kesemua pengarah muzik akan terlibat dalam menyusun muzik untuk 27 buah lagu yang bakal didendangkan pada malam tersebut,” katanya kepada media dalam sebuah sidang akhbar virtual baru-baru ini.

Teruja menanti detik bersejarah tersebut, wanita yang terkenal menerusi lagu Ayat-Ayat Cinta itu tidak sabar untuk menghiburkan para peminat yang setiap menyokongnya selama 25 tahun.

“Alhamdulillah saya syukur, akhirnya detik yang ditunggu-tunggu hampir tiba.

ROSSA menyifatkan judul konsertnya, Rossa 25 Shinning Years Concert sebagai satu terjemahan terhadap perjalanan seni selama ini yang penuh bergemerlapan.

“Saya sudah tidak sabar ingin bertemu dengan para peminat selepas menahan rindu lebih dua tahun akibat pandemik.

“Hati saya rasa juga sangat lega kerana tidak perlu lagi terlibat dan menjayakan konsert secara virtual,” ujarnya penuh bersemangat.

Mengulas mengenai pemilihan nama konsert yang menggunakan perkataan shining (kilauan), dia memberitahu perkara tersebut diambil berdasarkan pemerhatiannya terhadap perjalanan indahnya sebagai anak seni.

“Saya pilih kilauan kerana bagi saya semua perkara yang berlaku sepanjang bergelar selebriti semuanya sangat bersinar.

“Setiap hari saya memandang diri dan orang sekeliling saya dalam industri seperti sebuah permata yang berkilauan.

“Sebenarnya tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa gemerlapannya kehidupan saya selama ini,” tuturnya.

ROSSA bakal kembali menghiburkan peminat secara fizikal selepas lebih dua tahun terhalang akibat pandemik.

Sementara itu, Felicya Angelista yang mewakil penganjur terbesar konsert tersebut, Scarlett berkata, pihaknya bersetuju untuk menaja acara berprestij kerana Rossa merupakan seorang penghibur yang berkaliber.

“Pencapaian Rossa dalam perjalanan kariernya sangat gemilang dan bersinar.

“Pesona seorang Rossa sebagai salah seorang bintang Indonesia yang kekal berada dalam kelasnya sehingga hari ini.

Dalam konsert tersebut juga, penonton bakal dihiburkan dengan persembahan daripada beberapa penyanyi jemputan iaitu Ariel Noah, Afgan, Lyodra dan Boy William.

Selain di Jakarta, konsert tersebut turut bakal diadakan di Surabaya pada 25 Jun, di Bandung (29 Julai) dan beberapa lokasi lain yang bakal diumumkan kelak.

POPULAR