fbpx

Permulaan sempurna Malaysia belasah Oman 7-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN skuad negara, Muhammad Marhan Mohd. Jalil (kiri) bermain cemerlang ketika membelasah Oman 7-0 pada aksi pembukaan Piala Asia 2022 di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. - MHC

PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara tidak berdepan masalah untuk membuka kempen Piala Asia 2022 dengan langkah kemenangan selepas membelasah Oman 7-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia sebentar tadi.

Ia adalah permulaan sempurna ditunjukkan Malaysian Tigers selepas lama tidak beraksi dalam kejohanan antarabangsa sejak penularan Covid-19 pada Mac 2020.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak memperlihatkan kekurangan daripada aspek permainan, sebaliknya para pemain berjaya mendominasi keseluruhan perlawanan dengan menghasilkan tujuh gol.

Pakar flick, Muhammad Razie Abd. Rahim dinobatkan sebagai pemain terbaik selepas meledak hatrik menerusi dua pukulan sudut penalti pada minit keenam dan 13 dan satu penalti stroke (m-19).

Empat lagi gol skuad bimbingan Arul Selvaraj itu diperoleh menerusi Faizal Saari pada minit ke-23, Muhammad Shahril Saabah (m-34), Faiz Helmi Jali (m-40) dan Mohamad Ashran Hamsani (m-48).

Bekas kapten Malaysia, Mohamad Sukri Abdul Mutalib menyifatkan kemenangan itu amat penting buat para pemain sebelum mereka bertemu Korea Selatan dalam aksi kedua Kumpulan B esok.

“Kebiasaannya aksi pertama akan sedikit gugup tetapi permulaan yang menarik ditunjukkan oleh para pemain. Kemenangan ini dapat meningkatkan motivasi bertemu Korea Selatan esok,” katanya.

Kemenangan itu juga secara tidak langsung menyaksikan skuad negara berada pada landasan tepat untuk mara ke peringkat ‘Super Four’ sebagai dua pasukan terbaik daripada Kumpulan B. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI