fbpx
GADIS ini menjadikan bapanya sebagai idola dalam mengejar cita-cita.

Gadis Kampus: Nor Shahida mahu jadi pakar kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA memilih jurusan perubatan kerana minat yang mendalam sejak kecil lagi dalam bidang ini.

“Saya ingin mengetahui dengan lebih terperinci fungsi setiap organ dan perkara yang menyebabkan sesuatu penyakit serta cara menyembuhkannya,” kata Nor Shahida Mohd. Hashim.

Kata gadis berusia 24 tahun itu, dia kini melanjutkan pengajian dalam jurusan Kedoktoran di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Ujar Nor Shahida, pada mulanya dia menjangkakan belajar dalam jurusan tersebut adalah mudah, tetapi apa yang dialaminya adalah sebaliknya.

“Apa yang didapati kemudian, pengajian dalam bidang ini sangat sukar dan ada cabaran-cabarannya yang tersediri.

“Ini kerana, semua penyakit yang ada di seluruh dunia perlu dipelajari dan tidak terhad kepada penyakit-penyakit yang terdapat di Malaysia sahaja,” kongsinya.

Biarpun begitu, anak ketiga daripada empat beradik itu tetap gigih mengulang kaji pelajaran demi meneruskan pengajian sehingga tahun 2025, seterusnya merealisasikan cita-citanya untuk bergelar doktor.

Katanya lagi, selepas tamat belajar nanti, dia berhasrat untuk menjadi seorang doktor pakar kulit.

Selain itu, dia mahu membuka sebuah kafe atau perniagaan lain sebagai aktiviti masa lapang.

NOR SHAHIDA berazam menjadi pakar kulit selepas tamat pengajian.

Dalam pada itu, Nor Shahida berkata, matlamat utama dalam hidup adalah untuk membuatkan ibu bapanya berasa bangga dengan setiap pencapaian yang diperoleh sejak kecil lagi.

“Ini kerana bagi saya, matlamat hidup yang paling utama adalah membahagiakan kedua-dua ibu bapa dan menjadi anak yang menyenangkan hati mereka.

“Oleh itu, sejak kecil saya belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa memastikan mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

“Ibu bapa saya berbangga dengan saya apabila mendapat kesemua A dalam peperiksaan yang diduduki,” ujarnya.

Menurut anak kelahiran negeri Melaka itu lagi, dia begitu kagum dengan kejayaan bapanya yang berjaya melanjutkan pengajian di University of Texas, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga ijazah sarjana muda dan dua ijazah sarjana.

“Saya kagum dengan bapa yang tidak pernah mengeluh dan berputus asa dalam mencari ilmu.

“Biarpun umurnya kini mencecah 54 tahun, beliau tetap suka membaca tentang sesuatu perkara baharu dan suka mengambil tahu tentang isu semasa yang berlaku sama ada di dalam atau luar negara.

“Bapa juga suka membimbing kami adik-beradik tentang pelajaran dan jurusan apa yang sesuai untuk kami pilih ketika menjejakkan kaki ke menara gading.

“Boleh dikatakan, beliau memberi pilihan untuk kami memilih jurusan dan kerjaya pada masa hadapan,” kongsinya.

Dalam menyentuh isu lain, Nor Shahida memberitahu, dia cukup kagum dengan usaha dan langkah terbaik yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 dengan mendahulukan warga emas atau orang yang mempunyai penyakit kronik untuk mendapatkan vaksin.

Katanya, ia sebagai usaha terbaik dalam menangani impak Covid-19 kepada kumpulan berisiko tinggi.

“Kini negara telah beralih ke fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh alpa dalam hal ini dan perlu terus menjaga SOP (prosedur operasi standard) bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

POPULAR