fbpx
Anggota polis, bomba dan penduduk kampung menjalankan operasi mencari warga emas itu yang hilang di sebuah dusun buah-buahan di Kampung Pasir Dusun, Jeli sejak Khamis lalu. /FOTO IHSAN POLIS

Warga emas hilang ketika berkebun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI – Seorang warga emas hilang tanpa khabar berita selepas keluar berkebun di sebuah dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini sejak Khamis lalu.

Yaakub Ismail, 76, disedari hilang oleh anak lelakinya, Mohd. Sufian, 49, selepas mendapati mangsa tiada di kebun seluas 4.8 hektar itu meskipun kenderaan pacuan empat roda jenis Daihatsu Feroza dipandunya masih ada di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, anaknya yang tinggal di Kampung Berangan, Tumpat menyedari Yaakub hilang kira-kira pukul 3.30 petang selepas tidak melihat warga emas itu di kebun berkenaan tiga jam sebelumnya.

Katanya, Mohd. Sufian cuba mencari bapanya di sekitar dusun itu malah turut menghubungi telefon bimbit mangsa namun, gagal menembusi talian telefonnya.

“Anak lelaki mangsa mengesyaki sesuatu berlaku pada bapanya sebelum meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari warga emas itu.

“Mohd. Sufian telah melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Daerah Jeli di sini. Polis dengan bantuan pasukan bomba telah menjalankan operasi mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan anaknya, warga emas itu memakai baju kemeja, seluar panjang berwarna hitam dan memakai kasut but hitam semasa berkebun di kawasan dusun itu. – KOSMO! ONLINE

 

POPULAR