fbpx

Peniaga tutup kedai awal, bekalan ayam di pasar kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIKMAL MD. YATIM memotong ayam segar yang ditempah pelanggan di Pasar Simpang Empat, Arau semalam. – NUR NAZLINA NADZARI

PETALING JAYA – Bekalan ayam di seluruh negara didapati berkurangan menyebabkan peniaga menutup perniagaan mereka lebih awal daripada biasa.

Tinjauan di beberapa premis menjual ayam juga mendapati, rata-rata peniaga memperoleh stok ayam kurang daripada kebiasaan dan saiz ayam pula agak kecil berbanding sebelum ini.

Jelas peniaga, permintaan terhadap ayam ketika ini begitu tinggi berikutan orang ramai memerlukan ayam untuk dihidangkan kepada tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri pada hujung minggu.

Di Ampang seorang penjual ayam, Muhammad Norhisham Masnan, 49, berkata, bekalan ayam diperoleh juga amat kecil apabila pihak penternak terpaksa mengeluarkan ayam yang belum cukup tempoh matang bagi menampung pasaran.

“Cukup pening sekarang, rasa menyesal juga berniaga ayam apabila stok tiada.

“Saya pesan 200 ekor ayam dan dapat 60 ekor sahaja. Ini pun ba­nyak yang ditempah pelanggan dalam kalangan pengusaha kedai,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, sekiranya krisis bekalan ayam ini tidak dapat di­atasi segera, ia boleh melumpuhkan perniagaan sama ada di pasar atau kedai makanan yang menjual sajian itu.

“Kita tersepit, sudahlah harga ayam daripada pembekal mahal antara RM8.70 hingga RM9 dan ayam pun harga kawalan,” katanya.

GERAI Aida yang tinggal kaki dan empat ekor ayam termasuk ayam tua untuk dijual kepada orang ramai di Pasar Ampang semalam.

Sementara itu, seorang lagi penjual ayam, Aida Ahmad, 70, pasrah apabila memperolehi 15 ekor ayam sahaja untuk dijual kepada pengguna.

“Semuanya telah ditempah pelanggan dan hanya tinggal satu ayam kampung dan tiga ayam tua. Selain itu, saya hanya jual kaki ayam sahaja,” jelasnya.

Di Shah Alam, bekalan ayam di sekitar daerah ini habis seawal pukul 10 pagi.

Pekerja pasar raya yang mahu dikenali sebagai Helmi berkata, dia difahamkan, stok ayam harga kawalan dihantar pembekal di tempat kerjanya tidak banyak sejak beberapa hari lalu.

“Memang bekalan ayam dihantar sedikit, tapi saya tidak tahu punca perkara ini berlaku,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Seksyen 15, di sini.

Sementara di Pulau Pinang, seorang peniaga ayam di Bayan Baru dikenali sebagai Husin, 43, memberitahu, dia sempat membuka perniagaan selama dua jam bermula pukul 6.30 pagi.

“Bekalan ayam dihantar kurang, manakala permintaan daripada pengguna pula tinggi.

“Bayangkan, perniagaan kami terpaksa ditutup awal ketika ramai pelanggan datang ke pasar dan mencari bekalan ayam.

“Kami tiada pendapatan lain, bisnes ayam kecil-kecilan inilah yang membantu menjana kelangsungan hidup kami,” ujarnya.

Tinjauan di Arau, Perlis pula mendapati, ayam sudah habis terjual seawal pukul 9 pagi dan ramai pembeli pulang hampa.

Peniaga ayam di Pasar Simpang Empat, Hikmal Md. Yatim, 35, berkata, pembekal tidak dapat membekalkan jumlah ayam yang ditempah.

Katanya, mereka menempah ayam sebanyak 830 ekor daripada pembekal, tetapi 730 ekor sahaja dihantar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI