fbpx

9 pemandu kereta dicekup angkara berlumba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan yang disyaki terlibat dalam perlumbaan haram di Dataran Centrio, Seremban 2 awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan individu terlibat dalam perlumbaan ‘drag’ sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain mengundang padah selepas mereka ditahan dalam operasi di Dataran Centrio Seremban 2, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, operasi telah dijalankan sepasukan polis dari Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman pada pukul 1 pagi.

“Menerusi operasi terbabit, polis telah mengesan sembilan buah kereta sedang berlumba bermula dari lampu isyarat simpang tiga Persiaran Utama S2/3 sehingga ke lampu isyarat Persiaran S2/B6, berdekatan Mydin Mall, Seremban 2 kemudian berpatah balik dengan beberapa pusingan.

“Kesemua sembilan pemandu lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun telah ditahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki terlibat dalam perlumbaan haram tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat mengenai kegiatan itu pada 15 Mei lalu di mana kumpulan terbabit berlumba sambil memainkan muzik dan ekzos yang kuat di lokasi itu sehingga mengganggu penduduk di kawasan tersebut.

“Sembilan buah kereta jenis Proton Satria, Proton Saga, Proton Wira, Perodua Myvi, Honda CR-Z dan Honda Civic telah disita. Tangkapan dan sitaan kenderaan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

“Menerusi operasi itu, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap 38 motosikal dan 14 kereta sebelum mengeluarkan 72 saman membabitkan pelbagai kesalahan,” jelasnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI