fbpx
Mohd. Faizuddin (tengah) bersama Thiago Texeira (tiga dari kiri) dan Sathapa (tiga dari kanan) yang bakal bertarung untuk acara utama Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 di RTC Tunjong, Kota Bharu malam ini..

Petinju Brazil, Thailand berentap rebut gelaran juara Muay Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pertandingan Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 yang bakal berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini malam ini dilihat mampu menjadi penanda aras kepada penganjuran acara sukan Muay Thai berskala besar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd. Faizuddin Che Mahmood berkata, acara yang julung kalinya diadakan itu berjaya menarik penyertaan enam peserta dari Brazil, Thailand dan Kemboja daripada 14 orang peninju Muay Thai yang terlibat.

Menurutnya, penganjuran pertandingan dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Malaysia itu juga mampu menjadikan platform untuk membakar semangat anak-anak muda bagi menceburi bidang sukan berkenaan suatu hari nanti.

“Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 menjadi titik tolak kebangkitan semula kepada semua kelab-kelab sukan tersebut di negara ini untuk kembali semula berlatih selepas kegiatan mereka dilihat agak suram selama dua tahun akibat pandemik Covid-19

“Kita menjangkakan seramai 6,000 pengunjung akan hadir menyaksikan 14 perlawanan Muay Thai. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda City Hatchback,” katanya pada sidang akhbar penganjuran Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 di sini hari ini.

Perlawanan antara petinju Brazil iaitu Thiago Texeira dan jaguh dari Thailand, Sathapa merupakan acara utama dalam penganjuran Makmur Gold International Muay Thai Fight 2022 yang bermula pukul 8.30 malam ini.

Selain itu, pertarungan petinju tempatan, Mat Ropi dengan atlet Muay Thai dari Thailand, Prachak turut menjadi acara yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan tersebut.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Faizuddin, penganjuran acara itu juga menjadi satu pembakar semangat kepada Makmur Gold dalam merealisasikan pembinaan stadium sukan Muay Thai di Kelantan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurutnya, beliau akan pergi ke Thailand untuk melihat model pembangunan Muay Thai untuk diadaptasi di negara ini sekali gus dapat mencungkil bakat ramai lagi petinju tempatan yang berbakar.

“Sukan Muay Thai mempunyai peminat yang ramai di negeri ini dan kita yakin mampu menarik golongan muda untuk menyertainya jika mempunyai stadium yang serba lengkap selepas ini.

“Kita juga telah berbincang dengan Kelab Muay Thai Kelantan untuk menganjurkan program realiti dalam usaha untuk melatih 500 hingga 1,000 petinju di negara ini dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR