KAWASAN di Lembah Parvati yang terletak di Himachal Pradesh, India berbukit-bukit dan bercerun curam sekali gus memberi cabaran kepada pendaki untuk menerokai keindahannya.

Pengembara solo ramai hilang di Parvati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tiada statistik rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, namun media India melaporkan sekurang-kurangnya 21 pelancong disahkan hilang tanpa jejak sejak tiga dekad lalu di Lembah Parvati yang terletak di wilayah Himachal Pradesh.

Kebanyakan yang hilang terdiri daripada pelancong luar atau asing sewaktu bercuti di kawasan itu.

Sebilangan besar yang dilaporkan hilang melibatkan golongan lelaki berusia sekitar 20-an dan 30-an yang mengembara secara bersendirian.

Justeru tidak hairanlah, Lembah Parvati mendapat julukan Segi Tiga Bermuda India atau lembah kematian.
—————————————————————————————————————————————————————

KETERUJAAN jelas terpancar pada raut wajah lelaki berusia 32 tahun itu saat menghubungi keluarganya yang berada di New Delhi, India menerusi panggilan video pada 9 November tahun lalu.

Rasa seronok dizahirkan oleh Dhruv Agarwal selepas dia akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Lembah Parvati di wilayah Himachal Pradesh.

Untuk sampai ke tempat pelancongan yang terletak di utara negara itu, Agarwal terpaksa menaiki bas selama berjam-jam dengan jarak sejauh 600 kilometer dari New Delhi menuju ke situ.

Sewaktu membuat panggilan video bersama ahli keluarga, Agarwal sempat berkongsi pemandangan indah kawasan lembah itu yang dikelilingi banjaran Himalaya dilitupi salji putih.

“Dia menyorot telefon dari sisi kanan ke kiri untuk menunjukkan pemandangan menarik di kawasan ini. Wajahnya jelas menggambarkan rasa gembira,” ujar adik Agarwal, Manica ketika ditemui agensi berita tempatan baru-baru ini.

Bagaimanapun, sewaktu Agarwal ingin tunduk bagi mengambil sesuatu di bahagian bawah kakinya, tiba-tiba panggilan video tersebut terputus.

PANORAMA indah dapat disaksikan di sekitar Lembah Parvati yang mempunyai bentuk muka bumi yang kompleks.

Itulah kali terakhir Agarwal berhubung dengan keluarganya. Selepas itu, dia disahkan hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan sama ada masih hidup atau mati.

Hakikatnya, Agarwal merupakan salah seorang daripada puluhan individu yang direkodkan hilang tanpa sebarang kesan di Lembah Parvati sejak berdekad lalu. Kebanyakan yang hilang terdiri daripada pelancong luar atau asing sewaktu bercuti di kawasan itu.

Tiada statistik rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, namun media India melaporkan sekurang-kurangnya 21 pelancong disahkan hilang sejak tiga dekad lalu.

Menariknya, sebilangan besar yang dilaporkan hilang melibatkan golongan lelaki berusia sekitar 20-an dan 30-an yang mengembara secara bersendirian.

Justeru tidak hairanlah, Lembah Parvati mendapat julukan Segi Tiga Bermuda India atau lembah kematian.

Seorang polis tempatan berkata, Agarwal mengambil langkah kurang bijak dan tidak selamat apabila pergi ke lembah itu secara berseorangan tanpa ditemani rakan atau pengiring pendakian.

“Keluarganya memberitahu kami bahawa dia tidak pernah mendaki sebelum ini. Jadi, pelancong harus bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri apabila berada di sini.

“Mereka sepatutnya ditemani jurupandu pendakian. Pelawat tidak sepatutnya mengambil risiko mendaki bersendirian,” ujar anggota polis yang namanya enggan didedahkan.


PELANCONG Amerika Syarikat, Alexander antara yang dilaporkan hilang.

Sebelum Agarwal, kehilangan mengejut seorang pelancong Amerika Syarikat, Justin Alexander ketika menelusuri Tasik Mantalai di Lembah Parvati telah menggemparkan pada 2016.

Alexander berada di tasik sejuk dengan permukaan air membeku itu bagi memulakan rancangannya bermeditasi, berlatih yoga bersama seorang sadhu (seorang lelaki suci Hindu) tempatan.

“Saya harus kembali pertengahan September atau bulan seterusnya. Jika saya tidak kembali, jangan cari saya,” tulis Alexander dalam blognya.

Walaupun ramai pelawat dilaporkan hilang secara misteri di kawasan berkenaan, namun ribuan pelancong dari dalam mahupun seberang laut tetap mengunjungi Lembah Parvati.

Biasanya orang mengunjunginya untuk melakukan pendakian di laluan berbukit, menelusuri tasik atau sungai di sekitar lembah tersebut

Penulis buku High On Kasol yang menetap di Lembah Parvati, Aditya Kant menyatakan rata-rata pelawat ingin menikmati keindahan alam serta rasa ingin tahu tentang misteri kehilangan.

“Kebanyakan orang ke sini selepas mendengar kewujudan stimulant (stimulan atau dadah) yang cukup popular di lembah ini. Mereka datang untuk merasainya sendiri.

“Lagi pula, pemandangan sekitar lembah ini sangat cantik. Jadi tidak hairanlah ramai menggelarkan kawasan ini sebagai Switzerland mini,” katanya.

Stimulan dimaksudkan Aditya adalah krim malana iaitu resin ganja mahal yang ditanam oleh penduduk tempatan.

DADAH krim malana dianggap sebagai herba ajaib di Lembah Parvati.

Masyarakat tempatan menganggap krim malana sebagai herba ajaib, manakala pelancong asing melihatnya sebagai salah satu cara terbaik melegakan masalah ‘jiwa kacau’.

Difahamkan, pada penghujung tahun 1980-an, pelancong Israel mula berpusu-pusu datang ke Lembah Parvati. Ketika itu, tidak ramai pelancong datang ke lembah ini.

“Pada waktu itulah perdagangan dadah semakin berkembang pesat. Kini, kawasan lembah ini terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di India,” jelas Aditya.

Selain keindahan pemandangan dan dadah, ramai juga pelancong datang bagi menikmati kesunyian dan keheningan ditawarkan di sekitar Lembah Parvati.

Selain itu, bentuk muka bumi berbukit-bukit membuatkan kawasan berkenaan bertambah rumit dan misteri. Bahagian atas Lembah Parvati tidak mempunyai jalan bermotor.

Satu-satunya cara menuju ke bahagian atas lembah itu adalah dengan berjalan kaki melalui kawasan hutan berlaluan sempit dan bercerun curam.

Seorang pendaki gunung tempatan yang juga ahli Persatuan Penyelamat Himalaya, Manu Mahajan memaklumkan, kawasan lembah tersebut mempunyai banyak cerun sempit berbahaya untuk pendakian.

“Terdapat beberapa spot yang sangat berbahaya di lembah ini. Dengan sedikit kesilapan, anda akan terjatuh ke dalam Sungai Parvati dari ketinggian beribu-ribu meter,” ujarnya.

Bekas Ketua Polis Himachal Pradesh, I.D Bhandari memberitahu, faktor utama kehilangan pelancong di lembah itu disebabkan kecenderungan mereka menerokai trek baharu.

Jelasnya, laluan trek belum diterokai sangat berbahaya kerana dikelilingi bentuk muka bumi kompleks serta kewujudan hidupan liar berbahaya.


SEKUMPULAN pengembara berhati-hati menelusuri sebatang sungai.

“Ia menjadi lebih berbahaya bagi mereka yang meneroka kawasan ini di bawah pengaruh dadah. Mereka lebih terdedah melakukan kesilapan ketika perjalanan,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pendaki lelaki muda yang sering ke Lembah Parvati mendedahkan, setiap kali ke situ, mereka akan bertemu sekumpulan wanita muda yang cuba ‘menggoda’ para pelancong. Jelasnya, kumpulan wanita misteri berkenaan sering menjadikan para pendaki yang bersendirian sebagai sasaran mudah.

“Saya pernah mengambil makanan yang diberikan kumpulan ini. Selepas memakannya, saya tidak ingat apa-apa sebelum tersedar tiga hari kemudian.

“Saya difahamkan kumpulan wanita muda ini sering mengintai pelancong lelaki. Mungkin juga Agarwal diganggu kumpulan ini kerana bersendirian dan membawa wang tunai dan kad bank,” ujar lelaki berkenaan.

Sementara itu, penulis buku Lost In The Valley Of Death, Harley Rustas menerangkan, ada teori mengatakan terdapat seorang pembunuh misteri di kawasan itu yang menyasarkan pengembara membawa barang berharga.

“Ada yang membuat spekulasi bahawa pembunuh misteri itu merupakan orang suci agama Hindu. Ada juga yang percaya ia kerja warga asing yang sering bergaul dengan pelancong.

“Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, seorang lelaki tempatan didakwa dan dipenjarakan kerana membunuh seramai 13 pelancong asing di kawasan itu sebelum dia ditangkap,” terangnya.

Sejak setengah dekad lalu, polis tempatan mendapati berlaku peningkatan penangkapan warga asing yang tinggal secara haram di Lembah Parvati.

Pada 2010, seorang penguasa polis daerah, K. K. Indoria, memberitahu, pihaknya mendapat maklumat bahawa sejumlah besar warga asing yang dilaporkan hilang tinggal secara haram di pelbagai penempatan suku kaum.

“Pada awal 2000-an, seorang warga Austria dilaporkan muncul semula di Lembah Parvati selepas hilang selama belasan tahun.


SELAIN berbukit-bukit dan berlandskap pergunungan sekitar banjaran Himalaya, Lembah Parvati juga indah dengan pemandangan sungai.

“Dia didakwa menyatakan hanya mahu menghilangkan diri dan hidup bersendirian di pergunungan,” tutur Indoria lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN