fbpx

Pembeli McDonald’s di Russia akan menjenama semula restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG lelaki berjalan melepasi restoran McDonald's yang ditutup di Moscow pada 16 Mei lalu. - AFP

MOSCOW – McDonald’s mengumumkan telah menemui pembeli tempatan untuk perniagaannya di Russia selepas perang di Ukraine mendorong rangkaian restoran makanan segera itu meninggalkan negara tersebut, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam. 

Alexander Govor yang kini mengendalikan 25 restoran McDonald’s di Siberia akan mengambil alih rangkaian restoran dan kakitangan syarikat itu. Beliau akan mengendalikannya di bawah jenama baharu, kata gergasi makanan segera itu.

Harga jualan tidak didedahkan tetapi syarikat itu memberi amaran kepada pelabur bahawa ia akan menelan kos sehingga AS$1 bilion (RM4.4 bilion). McDonald’s telah beroperasi di Russia selama lebih 30 tahun.

Pembukaan restoran pertamanya di Moscow pada tahun 1990 melambangkan penurunan dalam ketegangan Perang Dingin. Setahun kemudian, Kesatuan Soviet runtuh dan Russia membuka sektor ekonomi kepada syarikat dari Barat. 

Bagaimanapun, ia merupakan salah satu syarikat yang menarik diri disebabkan perang di Ukraine dan sekatan oleh Barat yang menyukarkan operasi.

McDonald’s mempunyai hampir 850 restoran di Russia yang dimiliki secara langsung. Ia menjangkakan perjanjian yang tertakluk kepada kelulusan kawal selia itu akan dimuktamadkan dalam masa beberapa minggu lagi.

Govor telah menjadi pemegang lesen McDonald’s sejak 2015. Beliau juga adalah pengasas bersama sebuah syarikat penapisan, Neftekhim Service dan merupakan ahli lembaga pengarah firma lain yang memiliki hotel Park Inn dan klinik swasta di Siberia.

Terma pembelian memperuntukkan supaya 62,000 kakitangan McDonald’s di Russia dikekalkan sekurang-kurangnya selama dua tahun dengan gaji sedia ada. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI