fbpx

Jauhi hubungan toksik sebelum parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR AZIAH MAT NOH,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SUDAH menjadi lumrah orang muda mempunyai keinginan untuk mencari pasangan mengisi ruang kekosongan yang bersarang dalam hati.

Bermula dengan cinta monyet kemudian langkah mencari pasangan sejurus menginjak langkah ke universiti hingga alam pekerjaan.

Malah, wujud sesetengah go­longan yang hidup berpaksikan cinta semata-mata dan menganggap status bujang itu adalah satu perkara memalukan.

Bagaimanapun, ramai tidak menyedari setiap manusia itu mempunyai perilaku serta kema­tangan yang berbeza khususnya individu di usia yang masih hijau.

Susulan itu, ramai yang terjebak dengan hubungan toksik sehingga menjejaskan kesihatan mental serta tubuh badan akibat penderaan secara lisan serta fizikal daripada pasangan ma­sing-masing.

Hubungan toksik secara am bermaksud sebarang hubungan antara individu yang saling tidak menghormati, tidak memahami dan membuatkan seseorang itu berasa ketakutan setiap waktu.

Ia juga wujud dalam bentuk penderaan emosi serta sikap yang terlalu mengongkong pasangan memberi impak negatif terhadap kehidupan individu itu untuk bersosial dan menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar atau pekerja.

Selain itu, penderaan emosi juga wujud dalam bentuk kata-kata yang manipulatif, perasaan cemburu tinggi, menggunakan rayuan serta ugutan sehingga menjejaskan pemikiran logik individu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, 20 hingga 75 peratus wanita mempunyai pengalaman didera secara emosi.

Sementara itu, statistik me­nunjukkan seramai 1.6 juta wa­nita dan 786,000 lelaki menjadi mang­sa keganasan rumah tangga di seluruh dunia.

Mereka yang pernah menjadi mangsa penderaan di dalam hubungan romantik juga berisiko tinggi mengalami trauma atau gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) hingga takut untuk menjalinkan percintaan baharu bersama orang lain.

Pakar psikologi, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata, kebanyakan pasangan yang didera secara fizikal atau mental khususnya mereka yang telah mengikat tali perkahwinan mempunyai kesukaran untuk meninggalkan hubungan terbabit.

“Ini kerana, sesetengahnya bergantung harapan kewangan, kasih sayang dengan suami.

“Sementara itu, bagi isteri berkerjaya serta mempunyai pendapatan yang lebih tinggi, kebanyakan mangsa dimanipulasi agar pasangan tidak meninggalkan hubungan terbabit,” jelasnya.

Menurut Mariani, kedua-dua kategori terbabit yang penting bagi seorang isteri adalah kebanyakannya mempunyai sifat setia yang utuh terhadap suami.

“Sebarang perkara yang suami lakukan, isteri akan bertahan. Contohnya, pergaduhan yang berlaku tetapi dalam skala kecil yang mana kedua-duanya boleh berbaik semula terutama apabila kehadiran anak-anak itu memainkan peranan yang penting.

“Tambahnya, lelaki juga mempunyai fizikal yang lebih kuat daripada wanita jadi senang untuk ditewaskan dan mempunyai kelebihan dari aspek terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, wanita di luar sana yang berdepan de­ngan hubungan toksik melibatkan penderaan dinasihatkan meninggalkan perhubungan berkenaan.

Jelasnya, sebarang keganasan dalam hubungan atau rumah tangga hendaklah diadukan kepada keluarga supaya tindakan dapat diambil dan keganasan tidak berterusan sehingga kehilangan nyawa yang boleh menjejaskan ramai pihak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI