fbpx

Industri penerbangan perlu lebih ramai wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGLIBATAN wanita dalam industri penerbangan amat diperlukan bagi memastikan tenaga kerja yang seimbang.- GAMBAR HIASAN

“SEWAKTU kecil, saya amat teruja melihat kapal terbang berlepas dan mendarat,” jelas Nafisah Abdul Nasir, 45.

Menurutnya, minat dalam industri pesawat terbawa-bawa hingga ke alam pengajian dan mendorongnya untuk bekerja dalam dunia penerbangan.

Katanya, dia memulakan kerjaya dalam industri penerbangan dengan menyertai Malaysia Airlines pada 2005.

“Di Malaysia Airlines, saya bermula dengan jawatan Eksekutif Pembangunan Jadual Penerbangan dan Strategi Komersial. Kemudian saya menjawat jawatan sebagai Eksekutif Kanan Perancangan Jadual dan Strategi Komersial.

“Sepanjang berkhidmat di situ, saya telah menerima banyak pendedahan untuk aspek operasi dan komersial dalam bidang ini,” ujarnya.

Pada 2016, Nafisah mengambil keputusan untuk bertukar angin dan berkhidmat dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

SEJAK kecil, Nafisah telah menanam minat untuk membina kerjaya dalam industri penerbangan.

Kini dia menjadi Pengurus Pembangunan Penerbangan di situ.

Di Mavcom, ujar Nafisah, dia turut bertanggungjawab untuk membangunkan sistem pemfailan automatik iaitu AeroFile bagi suruhanjaya terbabit.

“Saya amat berbangga kerana dapat membangunkan sistem ini.

“Dengan AeroFile, ia dapat menyemak semua permohonan permit pendaratan daripada syarikat penerbangan asing dan tempatan untuk mengendalikan penerbangan komersial masuk dan keluar sama ada berjadual dan tidak, selain untuk terbang di ruang udara di negara ini,” jelasnya.

Tambahnya, AeroFile merupakan pencapaian penting bagi industri penerbangan di Malaysia kerana ia mengurangkan kertas kerja manual dan masa pemprosesan dari 14 kepada tiga hari sahaja.

Dalam pada itu, Nafisah mengakui, sepanjang terlibat dalam industri tersebut, banyak cabaran profesional dan peribadi perlu dihadapinya.

Menurutnya, bidang penerbangan sangat dinamik, teguh dan berkembang dengan pantas.

“Apa yang kita belajar hari ini, tidak tentu akan relevan pada esok hari. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa membina kemahiran baharu untuk terus menyumbang kepada pekerjaan.

“Antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah mengurus kerjaya dan pada masa sama, harus mengurus keluarga,” ujarnya yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.

Nafisah menambah, dia sangat bersyukur kerana keluarga sentiasa berada di sampingnya dalam memberikan sokongan kepada apa yang dilakukan.

Keluarga betul-betul memahami kerjayanya, walaupun kadang-kadang Nafisah perlu bekerja di luar waktu sebenar, selain mengorbankan masa hujung minggu untuk bersama mereka.

Nafisah juga berpendapat, lebih ramai wanita diperlukan dalam bidang penerbangan untuk memastikan tenaga kerja yang seimbang.

Tambahan pula katanya, wanita boleh membawa pandangan baharu serta pemikiran yang lebih luas dalam menjalankan tugasan.

DI Mavcom, Nafisah, turut bertanggungjawab untuk membangunkan sistem pemfailan automatik iaitu AeroFile bagi suruhanjaya terbabit.

“Berdasarkan pengalaman saya, wanita secara umum adalah lebih teliti dan mampu untuk melakukan berbilang tugas.

“Ia adalah nilai teras yang diperlukan untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan cekap dalam industri dinamik ini.

“Kebolehan kami untuk berbilang tugas sangat penting bagi menguruskan kerjaya dan juga rumah tangga,” terangnya.

Di samping itu, Nafisah berkata, golongan wanita yang ingin menceburkan diri dalam dunia penerbangan memerlukan minat mendalam untuk berjaya dalam pekerjaan tersebut.

Ujarnya, mereka harus cekal dan terus mencuba dan jangan pernah berputus asa, sebaliknya perlu bina kemahiran baharu dan terus belajar daripada kesilapan.

“Cabar diri anda kerana cabaran terbesar dalam kehidupan terletak dalam diri sendiri.

“Dengan setiap cabaran, anda akan menemui versi baharu dalam diri,” katanya.

Dalam pada itu, Nafisah mempunyai impian untuk melihat lebih ramai wanita bekerja pada semua tahap dalam industri penerbangan, terutamanya untuk jawatan penting.

Menurutnya, dia percaya mereka yang telah membina kerjaya dalam industri penerbangan boleh dijadikan inspirasi buat wanita muda lain untuk menceburi bidang berkenaan.

“Apabila melihat wanita lain berjaya dalam industri ini, mereka akan rasa mempunyai tempat dalam dunia penerbangan.

“Saya yakin, ini dapat membantu mengukuhkan keyakinan diri mereka.

“Dengan itu, mereka mempunyai keberanian untuk mencapai kejayaan lebih besar dalam sektor ini pada masa akan datang,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI