fbpx
Gambar hiasan

Bahan perisa makanan dalam vape tidak selamat disedut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Formulasi asas untuk cecair vape atau lebih dikenali sebagai e-liquid atau e-juice yang terdiri daripada propylene glycol (PG), vegetable glycerin (VG) dan juga bahan perisa makanan lain hanya selamat untuk dimakan dan bukannya disedut sebagai asap.

Ketua Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Sulastri Samsudin berkata, sebagai contoh, PG dan VG yang dipanaskan akan menghasilkan formaldehyde iaitu bahan kimia pengawet mayat.

Menurutnya, ia adalah sejenis bahan kimia toksik yang juga agen penyebab kanser.

“Proses tersebut akan berlaku apabila cecair vape dipanaskan di dalam katrij semasa seseorang itu menghisapnya.

“Bahan-bahan ini hanya disahkan selamat jika dimakan, namun selamatkah untuk disedut atau dihidu melalui sistem pernafasan semasa menghisap vape,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Sulastri, terdapat juga laporan terhadap bahan kimia diacetyl dan acetyl propionyl yang biasanya digunakan sebagai bahan perisa vape yang boleh menyebabkan kesan iritasi pada paru-paru.

“Bahan perisa yang popular dalam kalangan pengguna vape seperti vanillin pula dilaporkan mempunyai kesan sitotoksik (kesan toksik pada sel) khususnya pada sel paru-paru jika terdedah dalam kadar tertentu.

“Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021, sehingga kini terdapat lebih kurang 16,000 jenis perisa yang boleh didapati dalam pasaran,” ujarnya.

Sulastri berkata, hasil kajian daripada Universiti Johns Hopkins yang dikeluarkan pada Oktober 2021 mendapati, cecair dan aerosol vape mengandungi lebih 2,000 bahan kimia yang sebahagian besarnya tidak dapat dikenal pasti.

“Ini bakal mendedahkan pengguna vape kepada kesan terhadap kesihatan yang tidak dapat kita duga.

“Semasa wabak Evali tercetus di Amerika Syarikat pada penghujung 2019, satu bahan kimia iaitu Vitamin E Acetate telah dikesan dalam kebanyakan sampel cecair vape dan juga paru-paru pesakit,” ujarnya.

Jelasnya, penambahan Vitamin E Acetate itu dikaitkan de­ngan penggunaan cecair vape yang mengandungi ganja sebagai agen pemekat.

“Namun begitu, masih ada kes-kes yang mana pesakit hanya menggunakan cecair vape yang mengandungi nikotin sahaja. Justeru itu, bahan kimia penyebab Evali masih tidak boleh dikenal pasti dengan tepat.

“Apa yang pasti, pendedahan yang berterusan terhadap sebarang bahan kimia berbahaya pasti akan mengundang mudarat terhadap kesihatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN