fbpx
YUNA meluahkan rasa sedih atas pemergian anak saudaranya yang berusia setahun lebih akibat Covid-19.

Anak saudara Yuna meninggal dunia kerana Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Dalam kemeriahan sambutan Syawal yang masih berlangsung, penyanyi terkenal Yuna berkongsi berita duka tentang pemergian anak saudaranya, Arisa Naura akibat virus Covid-19.

Menurut Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 36, anak saudaranya yang berusia setahun lima bulan meninggal dunia Ahad lalu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.

“Semalam hari yang sukar. Anak saudara saya, Arisa Naura meninggal dunia di hospital Klang di Malaysia kerana Covid selepas bertarung nyawa selama 12 jam,” tulis Yuna dalam Instagram Story.

Biarpun begitu, Yuna bersyukur kerana berpeluang bertemu arwah buat kali terakhir pada minggu lalu.

“Saya bangga menjadi ibu saudara kamu dan bersyukur dapat berjumpa kamu minggu lalu. Kenangan tersebut akan disimpan buat selamanya.

“Hati saya hancur dengan pemergian kamu, tetapi berasa lega sekarang kamu sudah bersama dengan Aunty Amy dan anaknya baby Zara di syurga,” tulis Yuna lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Crush itu turut meluahkan kesyukuran kepada Allah atas kehadiran Arisa dalam keluarganya meskipun untuk tempoh yang singkat.

“Terima kasih Allah kerana meminjamkan kami malaikat kecil yang comel. Kami tahu Arisa sangat istimewa saat dia hadir dalam kehidupan kami.

“Kami tidak tahu kami dirahmati dengan hadiah yang sungguh indah. Sangat unik, cantik dan kehadirannya sangat meninggalkan kesan walaupun untuk jangka masa yang singkat seperti pelangi yang muncul selepas hujan,” kongsi Yuna. – KOSMO! ONLINE

POPULAR